Catatan pena: Puasa enam hari di bulan Syawal

- Advertisement -

PESTA ibadah di bulan Ramadan tidak berakhir dengan tibanya Syawal. Bahkan selari dengan maksud Syawal itu sendiri, ia adalah bulan yang meningkatkan amal kebaikan kita setelah menjalani tarbiyah diri sebulan penuh di sepanjang bulan Ramadan.

Di antara ibadah yang sangat dianjurkan oleh Nabi Muhammad S.A.W di bulan mulia ini adalah ibadah puasa enam hari di bulan Syawal. 

Berikut adalah beberapa catatan penting berkaitan ibadah puasa enam di bulan Syawal untuk manfaat kita bersama:

1. Imam Syafie Rahimahullah menghukumkan ibadah puasa enam di bulan Syawal sebagai sunat muakkad iaitu perkara sunat yang sangat digalakkan dilakukan berdasarkan kepada perbuatan Nabi S.A.W yang tidak meninggalkannya.

2. Pahala bagi mereka yang mencukupkan puasa Ramadan lalu menambah dengan puasa enam hari di bulan Syawal adalah menyamai dengan pahala orang yang berpuasa sepanjang tahun. Dari Abu Ayyub Al Ansori, Rasulullah S.A.W bersabda;

- Advertisement -

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun”

3. Umat Islam diharamkan berpuasa enam atau apa jua puasa pada tanggal 1 Syawal.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ يَوْمِ الْأَضْحَى وَيَوْمِ الْفِطْرِ

“Dari Abu Hurairah R.A berkata “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W melarang puasa pada dua hari kebesaran iaitu pada hari raya Aidiladha dan hari raya Aidilfitri (1 Syawal)””

 (Hadis Riwayat Muslim)

4. Ibadah puasa enam hari boleh dilakukan secara berturutan ataupun dengan dipisahkan turutan harinya selagi berada di dalam bulan Syawal. Ia juga boleh dilakukan di awal Syawal, pertengahan atau penghujung Syawal. Imam Nawawi Rahimahullah di dalam Al Majmu’ mengatakan;

“… dan disunatkan untuk berpuasa (puasa enam Syawal) secara berturutan di awal Syawal. Sekiranya dipisahkan (tidak berpuasa enam hari berturut-turut) ataupun diakhirkan puasa tersebut di bulan Syawal, maka ianya dibolehkan.”

5. Mengenai menghimpunkan niat puasa qadha dan puasa enam, adalah lebih afdhal seseorang itu mengasingkan puasa qadha dengan puasa enam di bulan Syawal. Namun, menyatukan puasa qadha dan puasa enam di bulan Syawal itu dibolehkan mengikut pandangan sebahagian fuqaha Mazhab Syafie dan akan diberi pahala.

6. Bagi mereka yang ingin mengambil pandangan yang utama, maka adalah lebih afdhal menyegerakan atau mengutamakan puasa qadha berbanding puasa enam sekiranya mereka berbuka puasa di bulan Ramadan bukan disebabkan keuzuran. 

Sekiranya mereka berbuka disebabkan keuzuran, maka adalah lebih wajar mendahulukan puasa enam hari di bulan Syawal kerana kewajiban qadha bagi orang yang berbuka disebabkan keuzuran adalah bersifat muwassa’ iaitu mempunyai tempoh waktu yang dipanjangkan.

Hal ini berpandukan kepada pandangan Syeikh Daud Bin Abdullah Al Fathani di dalam Bughatut Tullab mengatakan;

“(Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat Syawal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqadha Ramadan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qadha Ramadan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qadha dahulu.”

7. Bagi mereka yang berhalangan untuk menyelesaikan puasa enam hari di bulan Syawal, adalah disunatkan mengqadha puasa tersebut di bulan Zulkaedah atau bulan-bulan lain selepasnya. Imam Nawawi Rahimahullah di dalam Raudhah Al Tholibin mengatakan;

“Sesiapa yang mengerjakan puasa sunat, atau solat sunat (yang) tidak wajib baginya untuk menyempurnakannya, tetapi ia disunatkan. Dan jika seseorang meninggalkan kedua-dua daripada ibadat tersebut, maka tidak wajib qada, tetapi ia disunatkan ganti”.

Semoga beberapa catatan ringkas ini memberi manfaat dan semangat kepada kita semua untuk beriltizam menunaikan ibadah puasa enam di bulan Syawal yang sangat dituntut pelaksanaannya di dalam Islam seterusnya mengekalkan kita di landasan taqwa yang menjadi matlamat pensyariatan ibadah puasa kepada kita semua. 

Selamat menjalani ibadah puasa enam di bulan Syawal buat semua Muslimin Muslimat.

NURHAFIZUL BADRUL HISHAM 
Ketua Dewan Pemuda
PAS Kawasan Teluk Intan – HARAKAHDAILY 25/4/2023