KOTA BHARU: Anak-anak perantau yang pulang berhari raya di kampung, sebahagian daripada mereka hari ini mulai kembali ke tempat kerja termasuk Kuala Lumpur.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gaal, Mohd Rodzi Jaafar berkata, keadaan trafik di laluan Kota Bharu ke Kuala Terengganu semakin sesak semula sejak semalam.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan anak-anak perantau yang memulakan perjalanan pulang ke destinasi masing-masing supaya bersabar dan memandu dengan berhemah supaya selamat sampai ke destinasi.
“Di hadapan kita nanti ada Hari Raya Aidiladha dan Pilihan Raya Negeri (PRN), tentunya anak perantau sekali lagi akan pulang ke kampung halaman,” ujarnya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya juga ada perantau yang menceritakan pengalaman meredah kesesakan jalan raya sewaktu pulang berhari raya di kampung yang digambarkan sebahagian kemeriahan sambutan Aidilfitri di Kelantan.
Katanya, situasi itu tidak pelik lagi bagi anak perantauan kerana sering berdepan situasi serupa setiap tahun.
Mohd Rodzi turut mengingatkan anak perantau pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada PRN yang akan diadakan tidak lama lagi bagi meneruskan kesinambungan kerajaan di bawah kepimpinan ulama di Kelantan. – HARAKAHDAILY 24/4/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!