Mahasiswa sentiasa ikuti perkembangan kerajaan Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Lebih 1,000 peserta hadir pada majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama Mahasiswa petang semalam, malah ramai yang terkandas akibat kesesakan lalu lintas.

Program itu dianjur Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan Persatuan Mahasiswa Darul Aman (PERSADA) dengan kerjasama kerajaan negeri. Ia melibatkan mahasiswa anak-anak Kedah yang belajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

- Advertisement -

Selain itu, melibatkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Program tersebut yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon, turut dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Dato’ Dr Mohd Hayati Othman dan Dato’ Wan Romani Wan Salim.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelbagai pandangan dan soalan yang diajukan mahasiswa menunjukkan mereka sentiasa mengikuti perkembangan kerajaan negeri.

“Soalan dan pandangan yang mereka utarakan pada sesi dialog menunjukkan mereka mengikuti perkembangan Kedah. Cuma mereka hendak dengar daripada mulut saya sendiri,” katanya pada sidang media selepas program tersebut.

Kebanyakan soalan yang dikemukakan berkaitan perkembangan ekonomi, peluang pekerjaan, status projek berimpak tinggi seperti Kedah Rubber City (KRC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Kedah Aerotropolis.

Hadir sama isteri Menteri Besar, Tok Puan Jusmalailani Jusoh, wakil-wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan. – HARAKAHDAILY 24/4/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!