KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menetapkan penjaja tidak dibenarkan menjalankan aktiviti perniagaan dalam lingkungan satu kilometer dari pasar.
Ahli Majlis MPKB-BRI, Muzani Muhammad bagaimanapun berkata, jarak tersebut boleh berubah jika ada cadangan dari persatuan peniaga di pasar tersebut yang dikemukakan kepada Jabatan Perlesenan MPKB-BRI.
Katanya, jika wujud cadangan untuk memperluaskan lagi jarak radius MPKB-BRI akan melakukan kajian serta semakan untuk memastikan nasib penjaja terbabit tidak terjejas.
“Dalam radius satu kilometer sahaja dari pasar, memang kita tidak keluarkan lesen penjaja sekarang, cuma kita boleh melihat undang-undang kecil PBT di negeri-negeri lain,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian selepas majlis makan colek dan moreh bersama rakyat dan anak Kelantan di perantauan di pekarangan Pasar Tok Kenali di sini,malam tadi.

Hadir sama Adun Demit, Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kubang Kerian, Kamarulzaman Ibrahim.
Sebelum ini, sebahagian peniaga di Pasar Tok Kenali meminta pihak berkuasa tempatan mengenakan tindakan terhadap penjaja tepi jalan berada dalam lingkungan lima kilometer yang didakwa menjejaskan kedatangan pembeli.
Muzani yang juga Setiausaha Majlis Tindakan Dun Demit berkata, MPKB-BRI kini sedang merangka pelbagai aktiviti serta program bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Pasar Tok Kenali. – HARAKAHDAILY 20/4/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!