Gerhana: Antara keimanan dan kekarutan

- Advertisement -

CAKERAWALA dan masa

Di dalam al-Quran, banyak ayat yang menyatakan sumpah Allah S.W.T terhadap waktu. Antaranya والضحى demi waktu Dhuha, والشمس وضحاها demi matahari dan waktu Dhuhanya, dan والعصر demi masa.

Allah S.W.T berfirman;

- Advertisement -

وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشَى * وَالنَّهَارِ إِذَا تَجَلَّى

“Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya), Dan siang apabila ia lahir terang-benderang;”

(al Lail: 1 dan 2)

وَاللَّيْلِ إِذَا عَسْعَسَ (17) وَالصُّبْحِ إِذَا تَنَفَّسَ (18)

“Dan malam, apabila ia hampir habis, Dan siang, apabila ia mulai terang;”

(at Takwir: 17 dan 18)

Selain daripada bersumpah dengan waktu, banyak ayat al-Quran yang berkaitan dengan masa. Antaranya di dalam bab solat;

إن الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَاباً مَّوْقُوتاً

“Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(an Nisa’: 24)

Begitu juga di dalam bab zakat:

وَآتُواْ حَقَّهُ يَوْمَ حَصَادِهِ 

“… dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya;”

(al-An’am: 141)

Di dalam bab puasa;

أَيَّاماً مَّعْدُودَاتٍ

“(Puasa yang diwajibkan itu) ialah beberapa hari yang tertentu;”

 (al-Baqarah: 184)

Di dalam bab haji;

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ ۗ 

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji.”

(al-Baqarah: 189)

Semua ini dikaitkan dengan masa. FirmanNya;

هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمَرَ نُورًا وَقَدَّرَهُ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ ۚ مَا خَلَقَ اللَّهُ ذَٰلِكَ إِلَّا بِالْحَقِّ ۚ يُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

“Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya).”

(Yunus: 5)

Jika kita melihat takrifan masa, Imam Sa’aduddin at Taftazani menukilkan di dalam kitab تقريب المرام bahawa masa itu ialah حركة الفلك (pergerakan cakerawala).

Justeru, masa ada kaitan dengan pergerakan cakerawala. Contohnya umur seseorang yang mencapai 30 tahun, bermakna ia dikira berdasarkan 30 kali bumi mengelilingi matahari.

Mitos dan ketahyulan ajaran sesat

Namun, manusia yang tidak dipandu dengan wahyu, akan mengaitkan pergerakan cakerawala dengan mitos dan misteri. 

1. Antaranya kepercayaan masyarakat Arab Jahiliyyah yang mengaitkan gerhana dengan hidup dan mati. 

Lantas kepercayaan khurafat ini dihapuskan oleh Islam dengan sabdaan Baginda S.A.W yang diriwayatkan oleh Sayidatina Aisyah yang berbunyi:

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ، لاَيَنْخَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُم ذَلِكَ، فَادْعُوا اللَّهَ، وَكَبِّرُوْا، وَصَلُّوْا، وَتَصَدَّقُوْا.

“Sesungguhnya matahari dan bulan itu merupakan dua (tanda) dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Keduanya tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak juga kerana kehidupan seseorang. Oleh kerana itu, jika kalian melihat hal tersebut maka hendaklah kalian berdoa kepada Allah, bertakbir, solat dan bersedekah”.

2. Antara yang lain di sana ada fahaman yang mendewakan objek-objek langit. Iaitu Sabaisme, yang menyembah bintang. 

Di dalam al-Quran ada merakamkan kepercayaan beberapa kabilah Arab Jahiliyyah yang menyembah bintang الشعرى, lalu dijawab oleh Allah S.W.T:

وَأَنَّهُ هُوَ رَبُّ الشِّعْرَىٰ

“Dan bahawa sesungguhnya, Dialah Tuhan (Pencipta) “Bintang Syi’ra;” 

(an Najm: 49)

3. Termasuk juga ajaran Majusi (Zoroastrianisme) yang bertitik tolak daripada penyembahan matahari. Begitu juga kepercayaan Mesir Kuno yang menganggap matahari itu sebagai dewa. Mereka menggelarnya Dewa Rha.

Ada yang mempercayai bahawa Gerhana Matahari terjadi disebabkan Dewa Apep (Dewa Ular Laut) yang menelan Dewa Rha (Matahari). Begitulah mitos dan khayalan mereka.

4. Begitu juga kekarutan pengikut Namruz yang menyembah objek-objek langit. Kisah ini dirakamkan di dalam Surah al An’am ayat 74-81.

Begitu juga Imam as Sa’adi menghuraikan ayat 15 Surah at Takwir ini dengan menyatakan bahawa ada golongan penyembah 7 bintang, matahari, bulan, Zuhrah, Musytari, Marikh, Zuhal dan Utarid.

5. Di dalam Surah Saba’ Allah S.W.T menceritakan mengenai Kaum Saba’ yang menyembah matahari;

وَجَدتُّهَا وَقَوْمَهَا يَسْجُدُونَ لِلشَّمْسِ مِن دُونِ اللَّه

“Burung belatuk berkata “Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah…” 

(Saba’: 24)

6. Begitu juga Ahli Nujum (Astrologi) yang meneliti pergerakan objek langit untuk menilik karakter dan nasib seseorang. Ia berbeza dengan Astronomi (Ilmu Falak).

Kepercayaan ini diamalkan oleh masyarakat Masepotamia, Mesir Kuno dan Greek Kuno. Ramalan itu berdasarkan 12 Buruj Zodiak yang masyhur. Walaupun kepercayaan telah lama lenyap, namun dihidupkan semula pada Kurun ke-19 oleh Alan Leo. 

Kesimpulan

Kepercayaan kepercayaan karut lagi tahyul ini telah dihapuskan oleh Islam melalui keterangan-keterangan yang nyata. Apabila ada yang menuhankan matahari, Allah S.W.T buktikan bahawa matahari itu bukan tuhan, kerana ia akan hilang di malam hari.

Begitu juga dengan kejadian gerhana, yang menggambarkan bahawa matahari dan bulan itu mengikut aturan Allah S.W.T. Di sini jelas bahawa wahyu Tuhan itu memandu manusia untuk berfikir dengan betul.

Allah S.W.T berfirman menyatakan mengenai petunjuk al-Quran;

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…”

(al-Baqarah: 185)

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS
Negeri Perak – HARAKAHDAILY 19/4/2023