Semarak Kasih Ramadan rai 200 keluarga mualaf

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Sebanyak 200 keluarga mualaf di 12 buah kampung, Mukim Kerokot, Tambunan diraikan dalam program Semarak Kasih Ramadan peringkat negeri Sabah.

- Advertisement -

Menurut Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Sabah (DMPNS) Norazien Shafie, program tersebut merupakan aktiviti tahunan bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Dengan aktiviti sebegini, kita dapat merasakan rahmat daripada mereka yang memberi dan kita berharap rahmat itu sampai kepada mereka yang menerima.

“Sabah ini negeri yang sangat subur dengan aktiviti dakwah serta kebajikan dan kebajikan adalah satu jalan untuk kita menyampaikan dakwah Islam itu sendiri,” ujarnya dalam majlis penyerahan di Masjid An-Najm, Kampung Tinompok Liwan, kelmarin.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Tambunan, Mohd Azri Jaini Jeffrey, Pegawai Tadbir Agama Tambunan, Ustazah Noorjannah Rusinin, Pengerusi Masjid An-Najm Kampung Tinompok Liwan, Ustaz Salehudin Rusinin.

Hadir bersama Setiausaha LKK Dewan Muslimat PAS Malaysia, Zuriati Yaakob, Exco Muslim Care Malaysia, Suryana Sutarzi, Pengerusi Lajnah Penerangan dan Media Baharu DMPNS, Fadilah Nordin dan Pengerusi JIT DMPNS Azra Fazirah.

Program tersebut merupakan anjuran Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia dengan kerjasama LKK DMPNS, Muslim Care Malaysia, JHEAINS Tambunan dan Ahli Jawatankuasa Masjid An-Najm.

Program dimulakan dengan penyerahan 200 set bakul makanan berupa bahan keperluan asas seperti ayam segar, beras, bihun, sardin dan biskut kepada penerima bagi meringankan beban menyambut Aidilfitri.

Mereka turut bergotong-royong memasak bubur lambuk, berbuka puasa, terawih dan diakhiri dengan jamuan moreh.

Sementara itu, seorang penerima, Harini Arifin mengucapkan terima kasih kepada Muslim Care dan PAS atas sumbangan yang diberikan.

“Semoga dimurahkan rezeki penyumbang,” ujarnya kepada Harakahdaily. – HARAKAHDAILY 18/4/2023

- Advertisement -