PAS kekang muslihat ‘penjajahan, perhambaan’ era baru

- Advertisement -

PEMIMPIN PAS terus-menerus meneguhkan ummah ini dengan meninggikan lagi pemahaman berkenaan perkembangan semasa geopolitik dunia, rantau di sini dan negara di mana saling berkait serta mempengaruhi.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyingkap betapa di bulan Ramadan penuh barakah ini negara-negara umat Islam di rantau Asia Barat dan Teluk mula menunjukkan perubahan.

Dari perpecahan dan krisis tidak pernah berkesudahan hingga membunuh sesama sendiri serta memusnahkan tamadun pernah dibina, kini sedang memulihkan kembali hubungan serta ikatan.

“Tiba-tiba, berlakunya pemulihan hubungan antara Arab Saudi, Iran dan negara-negara Teluk, diikuti pula tanda-tanda perdamaian di Yaman, Libya dan berita pemulihan hubungan antara Turki, Syria dan Mesir,” ujarnya.

Menurut beliau, selama ini negara-negara itu menjadi sedemikian natijah adu-domba terhadap kaum, mazhab, ideologi yang sebenarnya adalah ‘roadmap’ Zionis Israel memastikan keselamatan dan kepentingannya bersama sekutu-sekutu lainnya.

Tuan Guru malah turut menyingkap serangan secara langsung terhadap Iraq dan Afghanistan dengan mempersenjatai kumpulan pembunuh yang mencetuskan peperangan tanpa mengira nasib rakyat.

“Yang menjadi mangsa keganasan dengan bertopengkan alasan menentang keganasan untuk melakukan provokasi yang kejam. Dalam kalangan orang Islam pula, ada sebahagiannya yang menjadi tentera upahan mereka,” kupasnya.

Beliau juga memdedahkan krisis dalaman yang merosakkan politik demokrasi dibangga-banggakan Amerika Syarikat, lalu mencetuskan provokasi peperangan antara Ukraine dan Rusia.

Juga bongkarnya mengenai ketegangan dalam isu yang melibatkan Taiwan dan China di mana negara Eropah dan Asia dipergunakan Amerika untuk menjadi khadamnya, selain situasi Zionis Israel sedang dalam gundah-gulana.

Katanya, walaupun kumpulan pelampau Yahudi mengganas dan dipersenjatai, tetapi telah mencetuskan keadaan yang lebih membakar dan meningkatkan semangat juang rakyat Palestin.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi sebelum ini turut melihat keruntuhan hegemoni Amerika dan Barat kesan provokasi diciptakannya menerusi Ukraine.

Katanya, selepas bermula operasi ketenteraan khas Rusia di Ukraine pada 24 Februari 2022, orde baharu dunia diterajui Amerika dan Barat mula menunjukkan hala tuju tidak menentu dan berkecamuk dalam pelbagai sudut.

Beliau mengulas bagaimana penguasaan Amerika ke atas dunia selama ini berasaskan kepada empat teras utama iaitu matawang dolar Amerika, ketenteraan, perusahaan dan penguasaan teknologi baharu.

Dalam perkembangan terbaharu, Amerika dan sekutunya ulas beliau, sedang tergugat dengan gabungan BRICS melibatkan Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan yang mempunyai potensi besar untuk menjadi pemain utama geopolitik dan ekonomi dunia.

“Kelebihan dan potensi besar BRICS ialah populasi negara anggota yang berjumlah 3.21 bilion orang yang merangkumi lebih daripada 41.5 peratus penduduk dunia. Keluasan negara anggota BRICS dianggarkan berjumlah 27 peratus daripada keluasan muka bumi. 

“KDNK negara anggota BRICS berjumlah USD26.6 trilion iaitu 26.2 peratus daripada Keluaran Kasar Dunia dan dianggarkan mempunyai rizab asing berjumlah USD4.46 trilion pada 2018.

“Negara anggota BRICS adalah antara pengeluar komoditi utama dunia seperti minyak mentah dan gas, bijirin, arang batu, bijih besi, tembaga, aluminium, nikel dan emas termasuk juga komoditi berharga seperti platinum dan palladium,” ujarnya.

Ustaz Muhammad Khalil juga berkata, jika mengambil kira China yang digelar sebagai ‘world factory’, BRICS sememangnya akan menguasai wang, ketenteraan, perdagangan dan teknologi baharu.

Siapa cuba kuasai Asia Tenggara?

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat turut ada mengupas serta mendedahkan percaturan muslihat sedang direncana ke atas negara dan rantau ini.

Katanya, wujud ‘grand designed’ dipanggil ‘The Greater Klang Valley’ melibatkan Wilayah Persekutuan, Selangor dan Negeri Sembilan untuk dijadikan pusat pertumbuhan yang akan membawa limpahan. 

Juga menurutnya, ‘The Greater Penang’, The Greater Penang di mana semua prospek pembangunan dan rancangan masa depan serta kebijakan dibawa untuk menjadi pusat pertumbuhan yang akan membawa limpahan ke seluruh kawasan Utara.

“Mereka menumpang kawasan tadahan air kita 341,000 hektar. Mereka menumpang sumber air daripada sungai kita Sungai Muda yang mengalir 130 kilometer jauhnya untuk menyara keperluan mereka.

“Tadahannya di bumi kita, nikmatnya dirasai oleh mereka, tiba-tiba mereka nak dijadikan ‘The Greater’, kita jadi penyuap dan dipinggirkan. Persaingan ini tidak akan terhenti, tidak akan berhenti,” tegasnya.

Bidas beliau, di sebalik matlamat hendak dicapai pihak-pihak tersebut, mereka meletakkan batu-batu halangan, rintangan, cabaran yang disengajakan, termasuk mengacau ganggu usaha dibuat Kedah.

Sehubungan itu beliau membangkitkan motivasi bahawa nasib masa depan negeri itu ada di tangan anak-anak Kedah sendiri dan menggesa ia tidak diserahkan kepada pihak lain untuk menentukannya.

“Kitalah yang paling berhak untuk tentukan nasib kita sendiri, jangan biarkan kita menjadi ‘grand designed’ orang untuk melukut di tepi gantang, untuk menjadi penyumbang kepada the greater negeri lain. 

“Padahal, ‘The Greatest State’ di Utara Semenanjung adalah Kedah Darul Aman,” ujarnya menyingkap bahawa negeri itu pernah menjadi kuasa besar suatu ketika dahulu namun runtuh akibat penjajahan dan persengketaan.

Jelasnya, dengan memiliki hutan yang luas, pengeluar makanan dan punyai industri, Kedah tidak sepatutnya menjadi negeri tercorot dalam Keluaran Dalam Kasar Negeri (KDNK) berbanding negeri-negeri lain.

Beliau sebelum ini turut pernah mendedahkan betapa Malaysia menjadi sasaran gerakan Evangelis sebagai sebahagian Laluan Sutera Baharu (The New Silk Road) yang memiliki banyak sumber penting masa depan. 

Laluan itu katanya, panjang dari Jakarta hingga ke China menjadi jalan perdagangan dan dakyah Evangelis yang turut didukungi parti politik tertentu.

“Sebahagiannya sudah bercantum, sebahagian sedang diusahakan. Ada yang pernah disekat, tetapi sekarang sudah dibuka. ‘Depa’ (mereka) telah kuasai Jakarta, naik ke Singapura, jadi pangkalan Zionis, CIA, Mossad, KGB.

“Apa saja gerakan rahsia antarabangsa yang jahat, menjadikan Singapura sebagai pangkalan secara sulit mahupun terbuka. Tahun 1983, ditangkap 12 kakitangan Kedutaan Singapura di Jakarta kerana jadi ‘spy’ (perisik) kepada Mossad Israel,” ujarnya.

Bentangnya, apabila Kristian gagal di Eropah hingga gereja-gereja bertukar menjadi masjid dan ramai memeluk Islam, gerakan Evangelis ke Afrika meng-Kristiankan penganut Animisme. 

Namun katanya, setelah tepu di Afrika, gerakan itu mensasarkan pula wilayah Asia untuk dimasuki dan dikuasai khususnya kerana menyedari rantau Asia Tenggara terdiri daripada 600 juta penduduk dengan hampir separuhnya Muslim. 

Malah kemukanya, rantau ini memiliki bekalan penting masa depan di mana manusia akan bertelagah dan berperang mengenainya iaitu makanan, air dan tenaga, di mana Kelantan dan Terengganu khususnya mempunyai simpanan minyak sangat banyak.

“Selain turut boleh menghasilkan berbilion tong gas yang menjadi tenaga dunia masa depan. Mahu tak mahu, negeri kita akan dikuasai atas perebutan tiga perkara; air, makanan, tenaga. 

“Siapa boleh kuasai Indonesia, Malaysia, Selatan Thailand, Barat Burma sampai Selatan Filipina, akan menguasai dunia di masa depan. Maka China turun, Amerika pun mari. Israel pula nak buka pangkalan dia.

“Yang terakhir ‘base’ kuat di Australia, dekat dah dengan kita (Malaysia). Kita ini jadi sasaran. Ada parti politik bawa agenda ini. Maka secara besar-besaran, para pemimpin dia ‘convert’ dari Buddha masuk Kristian. Kenapa masuk Kristian? Kerana Buddha tak dakwah agama dia pada orang lain.

“Tapi Kristian (Evangelis) ini agama Missionari, dakyah dan berhasrat memurtadkan orang Islam,” terangnya membuka ‘rahsia’ tersebut dan kesungguhan ‘parti itu’ membawa agenda Pilihan Raya Majlis Tempatan (PBT).

Katanya, mereka bertujuan menguasai tanah dan aset di bandar-bandar terutamanya dengan membangunkan kediaman super mewah dan dijual kepada para jutawan luar hingga orang Melayu dan rakyat miskin terpaksa lari. 

Perkara itu nyatanya, terjadi di beberapa bandar besar di rantau dan negara ini seperti Jakarta, Singapura, Johor Bahru, Seremban, Lembah Klang, Ipoh, Pulau Pinang, Kulim, Sungai Petani, Alor Setar, Bangkok, Ho Chi Minh, Hanoi, Guangzhou, Beijing dan Shanghai.

IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]HARAKAHDAILY 17/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -