Lantik 10 Timbalan Exco Melaka, satu pembaziran

Ustaz Imran Abdul Rahman
- Advertisement -

MASJID TANAH: Tindakan kerajaan Melaka di bawah kepimpinan Ketua Menteri baharu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang melantik 10 orang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Timbalan Exco adalah satu pembaziran.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman, berkata demikian, sambil menegaskan ditambah dengan situasi ekonomi negara yang baharu sahaja pulih daripada kesan Covid-19 menjadikan tindakan berkenaan adalah sangat tidak wajar.

- Advertisement -

“Dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ada 28 orang ADUN sahaja. Sekarang 11 orang sudah menjadi Exco termasuk seorang Ketua Menteri. Bila tambah dengan 10 orang lag,i jadi 21 orang ada dalam pentadbiran kerajaan. 

“Ini bermakna 75 peratus ADUN adalah pentadbir. Macam orang yang badan kecil tetapi kepala besar. Ini sangat tidak sesuai dan membazir,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Tambah Ustaz Imran, kerajaan bukan sahaja terpaksa menanggung elaun-elaun mereka malah kemudahan lain seperti kenderaan rasmi yang biasa diterima bagi jawatan ini. 

Menurut beliau, negeri Melaka bukan sebuah negeri kaya dan mempunyai banyak hasil malah masih bergantung kepada geran daripada Kerajaan Persekutuan, maka langkah berkenaan dianggap tidak sesuai.

“Lebih baik duit tu guna untuk bantu rakyat. Jangan sebab nak bagi jawatan yang lebih pada DAP sehingga sanggup tambah jawatan Timbalan Exco ini. Kena fikirkan keperluan dan kos yang ditanggung rakyat.

“Saya pun pelik. Bagi ADUN PH-DAP ini, bukankah selama ini mereka perjuangkan agar kerajaan mengecilkan ahli pentadbiran? Tetapi sekarang mereka terima pula. Ini menunjukkan mereka tidak konsisten dengan prinsip mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/4/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!