ALOR SETAR: Pihak berkuasa diseru membuat siasatan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah portal tempatan yang memuat naik artikel berbaur hasutan serta fitnah terhadap Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Laporan polis yang dibuat melalui Setiausaha Akhbar (SUA) Menteri Besar, Muhamad Mat Yakim, semalam berpandangan bahawa artikel yang disiarkan oleh portal terbabit bertujuan melaga-laga Tuanku Sultan Kedah dengan Menteri Besar berkenaan.
“Sebagai pegawai yang sentiasa ada bersama Menteri Besar terutama setiap kali beliau memberi kenyataan kepada media, saya yakin tidak pernah sekalipun Sanusi mendakwa Sultan Kedah terlibat dalam gerakan penyingkiran beliau sebagai ahli mesyuarat Majlis Kewangan Negara,” katanya ketika ditemui media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kota Setar, semalam.
“Artikel yang disiarkan oleh portal terbabit bertajuk Gerakan singkir MB Kedah sebagai ahli mesyuarat Majlis Kewangan Negara, Sanusi dakwa Sultan Kedah terlibat? itu bukan sahaja tidak benar malah dilihat sengaja menimbulkan kekeliruan serta berbaur fitnah,” tambah beliau .
Menurut Muhammad, semua pihak sedia maklum hak melantik wakil Kedah sebagai ahli Majlis Kewangan Negara adalah kuasa prerogatif Tuanku Sultan malah tajuk yang diterbitkan itu tidak berasas sama sekali.
“Setakat ini hubungan antara Menteri Besar dengan Tuanku Sultan Kedah dalam keadaan amat baik.
“Oleh itu saya memohon pihak polis menjalankan siasatan kerana tulisan sedemikian boleh membawa tafsiran dan persepsi bahaya kepada kerajaan mahupun rakyat,” ujarnya..
Dalam masa yang sama, beliau tidak menolak kemungkinan tulisan itu sengaja dibuat untuk mencetuskan kekeliruan dan kebencian orang ramai terhadap Sanusi seolah-olah tidak mendapat perkenan untuk terus berkhidmat sebagai Menteri Besar.
Terdahulu, Sanusi memaklumkan pihaknya mempunyai bukti terdapat surat yang diutus oleh kementerian kewangan kepada Pejabat Tuanku Sultan Kedah ‘melobi’ agar penyertaannya di dalam Majlis Kewangan Negara dinafikan dan diganti dengan orang lain.
“Sedangkan konvensyen Majlis Kewangan Negara sebelum ini diwakili oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/4/2023