30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (23)

- Advertisement -

HIKMAH 23:

- Advertisement -

خف من وجود إحسانه إليك ودوام إساءتك معه أن يكون ذلك استدراجاً لك

“Takutlah kebaikan Tuhan padamu di saat kamu masih meneruskan dosa padaNya, bahawa itu adalah istidraj bagimu.”

1. Jangan merasakan tuhan tidak akan menghukum kita di dunia atas dosa yang dilakukan, hanya kerana kita tidak merasakan hukumannya atau kita masih hidup dalam nikmatNya. walaupun telah beberapa kali melakukan dosa itu. Boleh jadi ia adalah istidraj; tuhan biarkan kamu terus lakukannya untuk dia menghukummu dengan hukuman berat setimpal dosa terkumpulmu.

2. Tidak takut kepada istidraj merupakan sifat orang kafir. Firman Allah S.W.T:

وَٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَٰتِنَا سَنَسۡتَدۡرِجُهُم مِّنۡ حَيۡثُ لَا يَعۡلَمُونَ

“Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.”

[Al-A’raf:182]

3. Bergembira dengan merasakan Tuhan tidak murka dan masih sayang pada dirinya walaupun melakukan maksiat adalah punca dia menerima istidraj. Firman Allah S.W.T:

فَلَمَّا نَسُوا۟ مَا ذُكِّرُوا۟ بِهِۦ فَتَحۡنَا عَلَیۡهِمۡ أَبۡوَ ٰ⁠بَ كُلِّ شَیۡءٍ حَتَّىٰۤ إِذَا فَرِحُوا۟ بِمَاۤ أُوتُوۤا۟ أَخَذۡنَـٰهُم بَغۡتَةࣰ فَإِذَا هُم مُّبۡلِسُونَ

“Apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).”

[Al-Anʿām: 44]

Ibrah Ramadan:

Ramai melalui Ramadan hanya dengan berpuasa, tapi dalam masa yang sama meninggalkan kewajipan lain atau tidak meninggalkan maksiat. Mereka merasakan tuhan masih sayangkan diriNya dengan ketaatan yang dilakukan, kononnya ia menutup dosa yang diamalkan tanpa sebarang taubat.

Boleh jadi ianya juga adalah bentuk istidraj, sehingga akhirnya ditimpakan bala hukuman yang sangat berat kepadanya, sama ada di bulan ini ataupun selepas ini.

Sentiasalah berusaha untuk tinggalkan maksiat dan membencinya. Jangan merasakan kebaikan yang dibuat menampung murka tuhan atas dosa yang lain.

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 14/4/2023