SEORANG penganalisis politik seakan tidak yakin data kajian Merdeka Center. Markah populariti perdana menteri diberi badan kajian terbabit iaitu 68 peratus.
Katanya bagaimana dalam tempoh singkat populariti PM melonjak tinggi. Sedangkan catat Dr Ahmad Faris sehingga sekarang tidak terlalu banyak boleh dibincangkan tentang kejayaan perdana menteri.
“Cabaran utama pengurusan ekonomi. Gangguan rangkaian bekalan, tekanan inflasi dan ketegangan geopolitik merupakan cabaran besar dalam mengurus ekonomi negara,” catat pada kolum sebuah akhbar hari ini.
Situasi yang diluah Dr Faris turut dirasai majoriti rakyat. Di tengah kemelut ekonomi, keadaan politik juga dilihat masih belum stabil.
Biarpun kerajaan campuran mempunyai majoriti dua pertiga di parlimen politik penunggang-pemboceng sekarang boleh rebah. Siapa penunggang dan pemboceng dalam politik dalam kerajaan campuran sekarang.
Sudah pasti penunggang pihak yang memiliki kuasa politik paling banyak.
Labanya penunggang lebih banyak kerana handle di tangannya, manakala pemboceng sekadar mengikut. Namun kita harus ingat, tanpa pengikut politik kerajaan campuran akan tempang.
Rakyat melihat ada usaha mencari laba daripada politik campuran sekarang. Dan dalam banyak situasi dibiar berlaku pertembungan di gelanggang kerajaan.
Kalau kita belek apa yang berlaku selepas kerajaan campuran dibentuk jelas kelihatan percanggahan antara pendukung kerajaan.
Biarpun cuba disembunyi rapat, namun masih ada lubang besar. Kata orang tua-tua umpama menutup bangkai gajah dengan nyiru. Terselak juga di mana-mana bahagian.
Begitu juga apa yang berlaku sekarang. Sebelum ini Presiden Umno Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan Ketua Umno Machang sebagai pengerusi Felcra.
Bagaimanapun tidak lama selepas itu Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Ahmad Jazlan ditangguh.
“Saya tidak pernah menyatakan tidak boleh mana-mana orang terlibat politik itu tidak boleh menjadi pengurusan tetapi mesti terikat dengan syarat-syarat dan mempunyai kelayakan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet.
Beritanya mengenainya disiarkan banyak media pada 21 Disember lepas. Sedangkan seminggu sebelum itu Zahid mengumumkan Jazlan dilantik semula sebagai Pengerusi Felcra.
Ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Timbalan Perdana Menteri (TPM) mengumumkan pelantikan, kemudian ditangguh pula oleh Perdana Menteri (PM).
Pertembungan dalaman
Jelas kelihatan pertembungan dalaman kerajaan sekarang. Ia elemen tidak sihat bagi politik kerajaan campuran. Malah silap percaturan kerajaan yang dibentuk boleh retak.
Banyak kes seumpama itu berlaku di luar negara sebelum ini. Kerajaan campuran bukan dominan, boleh rebah bila-bila masa sahaja.
Ini realiti yang sedang menunggu. Selepas agak reda dengan isu tersebut, tiba-tiba isu serupa berulang lagi. Apabila dua kali berulang isu sama, tanda-tanda keretakan semakin jelas.
Isu serupa cuma aktor berbeza. Pada 5 April lepas Zahid mengumumkan bekas ahli parlimen Baling sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Malangnya lima hari selepas itu Anwar memaklumkan pelantikan Azeez akan diteliti semula.
“Saya akan berbincang dengan Presiden Umno mengenai salah satu pengumuman itu yang belum dihantar surat (pelantikan rasmi),” katanya.
Nah, bisul semakin membesar. Apabila dua isu sama berulang, komunikasi kerajaan campuran jelas tempang. Sedangkan orang lama memberi peringatan, jangan dipatuk ular di lubang yang sama.
Kalau pertama kali berlaku mungkin boleh dianggap kesilapan teknik. Namun apabila dua kali berulang isu sama, tidak munasabah lagi disebut masalah teknikal.
Situasi yang berlaku sekarang turut menjadi kebimbangan pendukung Pakatan Harapan (PH). Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim tidak mampu menyembunyikan resahnya.
Katanya imej baik kerajaan sekarang tercalar dan tercemar dengan isu pengampunan Najib Razak dan penangguhan kes Zahid di Mahkamah Tinggi.
Umno dilapor memohon Najib dibebaskan daripada hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Ikhtiar terakhir pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Permohonan pengampunan difailkan pada Ogos tahun lalu. Manakala terbaharu pula Zahid dilapor memohon 47 pertuduhan kes rasuah, salah guna kuasa dan pelupusan wang haram digugurkan.
Representasi difailkan kepada Jabatan Peguam Negara oleh peguam Zahid. Kesannya perbicaraan ke atas Zahid yang ditetapkan April hingga Julai telah dilapangkan. Ia bermaksud ditangguh kepada tarikh baru.
Seram dan membimbangkan kata Hassan. Alasan utama penangguhan itu ialah untuk menunggu keputusan Peguam Negara sama ada 47 pertuduhan wajar digugurkan atau pun tidak.
Media juga melaporkan pihak pendakwaan berjalan seiring dan senada dengan Suruhanjaya Pencegahaan Rasuah Malaysia (SPRM) tiada bantahan terhadap permohonan penangguhan kes Zahid.
Apa yang berlaku itu benar-benar membimbangkan Hassan. Beliau seorang peguam dan aktivis hak asasi manusia. Tentunya kes yang berlingkar itu dekat dengan jiwa nuraninya.
Berdasar pemerhatian banyak pihak, Umno kelihatan keseorangan sekarang. MCA dan MIC sudah lama berada di luar gelanggang.
Hassan dan ramai pemimpin PH sedar, sketsa sekarang silap haribulan boleh bertukar menjadi sokong membawa rebah. – HARAKAHDAILY 13/4/2023