UMAT Islam dijangka menyambut Hari Raya Aidil Fitri tidak sampai dua minggu lagi. Dalam masing-masing mempertingkatkan amalan mengejar hari-hari terakhir di bulan yang penuh barakah ini, persiapan untuk menghadapi hari raya juga perlu disusun.
Perancangan balik ke kampung bertemu kaum keluarga dan sanak-saudara, ziarah-menziarahi adalah amalan yang mulia dan pasti dilaksanakan. Demikian juga persiapan baju raya, kuih-muih dan makan-minum suka tidak suka perlu diambil-kira.
Hari raya adalah hari kemenangan buat mereka yang berjaya amalannya sepanjang Ramadan. Pada hari rayalah masing-masing menzahirkan kegembiraan dan bersyukur dengan apa yang ada.
Namun segala-galanya tertakluk pada kemampuan. Keceriaan dan kegembiraan tahun-tahun sebelum ini sudah pasti berbeza kerana kali ini suasana tidak seperti sebelumnya.
Hari ini keresahan rakyat terbelenggu pada menghadapi kenaikan kos hidup yang berpunca dari harga barangan dan makanan yang mencacak naik berbanding dengan pendapatan dan upah yang tidak banyak berubah.
Harga minyak dan kos lain berkaitan dengan kehidupan seharian juga tidak turun-turun. Selain itu ada juga segmen yang lebih terhimpit kerana diberhentikan kerja kesan dari pandemik COVID-19 tempoh hari yang mengakibatkan majikan gulung tikar.
Rata-rata mereka yang terkesan ini terutama golongan B40 sebahagian besarnya adalah dari kalangan umat Melayu. Mereka inilah yang pasti berasa pahit menghadapi hari raya kali ini.
Kerana itu usaha menangani isu kenaikan harga barang dan kos hidup ini perlu dilakukan dengan serius dan bersungguh-sungguh. Langkah menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat dan golongan sasar, memang dialukan tetapi ianya sekadar usaha ‘one off’ yang hakikatnya tidak menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi rakyat.
Syukur dapat duit dari kerajaan tetapi ia sekadar langkah sementara, esok lusa poket akan kosong kembali.
Rakyat mahukan penyelesaian yang lebih tuntas, bukan retorik politik dan janji-janji kosong semata-mata.
Apa makna umpamanya komitmen pelaburan mencecah RM170 bilion dari Negara China, tetapi rakyat di bawah, nak berhari raya pun terpaksa berkerat-kerat dan bersukat-sukat.
Janji menurunkan harga minyak yang hangat dimainkan semasa kempen Pilihan Raya Umum lalu khasnya oleh Perdana Menteri ke-10 sendiri, hari ini tidak turun-turun, dan rakyat yang terkesan pasti rasa tertipu dan kecewa.
Masalah yang dihadapi rakyat ini adalah masalah sebenar, bukannya direkacipta mana-mana pihak. Akibat tekanan hidup inilah maka ada desakan rakyat agar kerajaan membenarkan sekali-lagi para pencarum KWSP yang tersasar untuk membuat pengeluaran terhadap simpanan mereka.
Tersasar ini bukan makna buat semua pencarum KWSP, tetapi kepada mereka yang benar-benar terdesak dan memerlukan. Yang melalui pengeluaran ini dapat membantu kehidupan mereka dan mungkin jalan keluar untuk memperbaiki kehidupan masing-masing.
Rakyat mungkin ada yang tertunggak hutangnya dengan bank dan institusi kewangan lain, ansuran rumah tertunggak, ansuran kereta. Pinjaman perniagaan atau koperasi yang tidak berbayar. Mereka inilah yang perlu dibantu, kerana jika tidak kehidupan mereka dan kaum keluarga akan makin terseksa sedangkan mereka punya simpanan di dalam KWSP.
Benar KWSP ini adalah simpanan tetap untuk masa tua. Tetapi mereka yang terkesan hari ini, tidak akan mampu meniti hidup seterusnya apatah lagi sampai ke usia tua kiranya kemampuan mereka hari ini tersekat. Mereka inilah yang perlu dibantu.
Rakyat kecewa apabila tuntutan mereka tidak dilayan sebaliknya kerajaan membenarkan mereka membuat pinjaman mencagarkan simpanan mereka di KWSP itu.
Bekas Timbalan Menteri Kewangan yang kini Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Ghani juga bersetuju agar membenarkan rakyat mengeluarkan simpanan mereka terutama yang sedang hadapi kecemasan berbanding memaksa mereka membuat pinjaman dengan mencagarkan simpanan mereka itu. Ini kerana peminjam nanti terbeban pula dengan bayaran faedah yang terpaksa ditanggung.
Pada hari raya ini kaum keluarga akan berkumpul, rakyat jelata akan pulang ke kampung halaman. Dengan masalah kehidupan mereka yang semakin meruncing, banyak suara-suara ketidakpuasan hati dan kekecewaan dijangka akan dilontarkan dan menjadi topik perbualan.
Sesungguhnya mereka sedar mereka masih ada peluang untuk menghantar mesej kepada pihak berwajib. Ini kerana lepas hari raya nanti, rakyat akan menghadapi satu lagi raya iaitu Pilihan Raya Negeri ke-15 buat enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Berpakatlah khasnya umat Melayu untuk membawa perubahan melalui sistem demokrasi. Kerajaan Persekutuan di bawah PH-BN dilihat lemah dan gagal dalam menangani isu periuk nasi rakyat, maka mereka perlu ditegur. Paling bijak biar ada semak dan imbang atau ‘check and balance’ dalam sistem kerajaan federalism ini.
Putrajaya sudah di tangan PH-BN, lalu untuk semak imbang yang telus, kita pastikan enam negeri ini diserah ke PERIKATAN NASIONAL pula atau PN. Biar PH-BN buka mata dan bekerja keras untuk rakyat kerana mereka akan dipantau oleh blok pembangkang PN di Parlimen yang punya 74 kerusi, selain kerajaan-kerajaan negeri PN (jika kita pakat mengundi PN dalam PRN ini) di sekeliling mereka terutama di negeri-negeri Melayu.
Jangan gundah gulana, kita masih ada peluang mengajar mereka. Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf Zahir dan batin.
ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 13/4/2023
Selepas hari raya kita pilihan raya pula
- Advertisement -