KUALA LUMPUR: “Rasulullah SAW telah membahagikan bulan Ramadan ini kepada tiga fasa yang mana ketiga-tiganya tidak ada pada bulan-bulan yang lain iaitu fasa rahmat, fasa keampunan dan akhir sekali iaitu fasa perlepasan dari api neraka.”
Demikian antara perkongsian tazkirah yang disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan berjudul, Hamba Allah bukan hamba Ramadan.
Beliau muncul dalam program Takzirah Zohor Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) secara langsung dari pejabat Harakah di Jalan Pahang, Off Jalan Pahang Barat, di sini, hari ini, yang boleh diikuti melalui Facebook Harakahdaily dan Facebook TV PAS.
Ustazah Wan Hasrina memberitahu apabila disebut tentang Ramadan, semua orang akan terbayang makanan yang sedap-sedap di bazar Ramadan, pakaian dan perhiasan cantik-cantik untuk menyambut Hari Raya Aidilftri, lupakah kita yang bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh kerahmatan?
“Amatlah rugi kalau kita tidak dapat merebut peluang untuk mendapat rahmat daripada Allah SWT pada bulan ini.
“Sedangkan bulan inilah bulan yang kita patut merebut peluang untuk membuat amal kebajikan kerana Allah telah menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda pada bulan ini.
“Malahan itu, kita juga dapat menyerahkan diri kita sebagai seorang hamba kepada pencipta yang maha Agung dengan melakukan ibadah-ibadah pada bulan ini,” kongsinya.
Menurutnya, tidak cukup dengan itu, Allah SWT telah menganugerahkan lagi kepada umat Nabi Muhammad S.A.W pada fasa ketiga iaitu malam Lailatul Qadar.
Apakah malam Lailatul Qadar? Lailatul Qadar adalah satu malam sekiranya kita melakukan amal kebajikan nilainya adalah bersamaan seribu bulan atau 83 tahun.
Untunglah siapa yang memperolehi malam Lailatul Qadar dan sangat beruntung kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW kerana dianugerahkan malam tersebut.
Ustazah Wan Hasrina turut memberitahu bahawa, amat rugi sekali sekiranya kita biarkan fasa ini berlalu begitu sahaja kerana inilah peluang kita meminta keampunan daripada Allah SWT kerana setiap masa, setiap jam, setiap minit, setiap saat kita pernah melakukan dosa kepada-Nya.
Pada fasa ketiga atau peringkat terakhir inilah, saat yang ditunggu-tunggu oleh orang yang beriman yang mana Allah SWT menjaminkan pembebasan api neraka kepada hambanya.
Beliau turut menekankan bahawa di bulan Ramadan ini, masyarakat Islam disarankan supaya melipatgandakan segala bentuk amalan mulia termasuk bersedekah dan meninggalkan perbuatan yang akan merosakkan pahala berpuasa.
Bulan Ramadan ini bukannya bulan untuk seseorang itu untuk berbelanja mewah, menambah hutang dan melakukan pembaziran termasuk pembuangan makanan.
“Apabila kita perhatikan di sekeliling pada masa kini masih ada masyarakat Islam yang berterusan dengan tabiat berbelanja sakan, sanggup berhutang keliling pinggang untuk persiapan hari raya dan terlalu banyak membazir makanan.
“Berhematlah berbelanja supaya kita dapat mengamalkan sifar pembaziran dalam kehidupan kita. Sesungguhnya Ramadan itu bulan ibadah, bulan untuk mengumpul pahala dan bukan sebaliknya.
“Semoga Allah SWT menerima segala amal kebaikan kita dan kita memperolehi rahmat dan keampunan daripadanya,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/4/2023