Puasa menurut kajian sains

- Advertisement -

AMALAN puasa atau menahan lapar dalam tempoh tertentu bukanlah sesuatu yang asing. 

Pelbagai bangsa dan agama di dunia mengamalkan pendekatan ini secara berbeza dengan tujuan yang pelbagai. 

Bagaimanapun, istilah puasa menurut sains terhad kepada amalan menahan lapar dan dahaga semata-mata atau mengurangkan pengambilan kalori. 

Sains membahagikan amalan menahan lapar secara berkala (intermittent fasting) kepada beberapa kategori termasuk;

1. Berpuasa secara berselang seli (alternate day fasting). Tiada makanan dan minuman yang memberi tenaga diambil pada hari berpuasa, manakala pengambilan kalori tanpa had pada hari yang lain. Amalan ini dilakukan secara berselang seli. 

2. Pengurangan pengambilan kalori pada hari tertentu (modified fasting regimens). Pada hari berpuasa, pengambilan kalori dikurangkan kepada 20-25 peratus. Ia juga dikenali sebagai diet 5:2 di mana seseorang berpuasa selama dua hari seminggu dan makan seperti biasa pada lima hari yang lain. 

3. Menghadkan masa pengambilan makanan (time-restricted feeding) dengan memberikan jarak antara 16 hingga 20 jam di antara satu hidangan makanan ke satu hidangan yang lain. 

Konklusi kajian ke atas manusia menunjukkan, amalan puasa berkala mendorong pengambilan makanan secara berjadual dan teratur. 

Amalan ini membantu menyelaraskan kitaran bangun-jaga (circadian rhythm) dan seterusnya menambah baik kadar metabolisma badan serta merangsang kecekapan bakteria baik di dalam usus manusia (gut microbiota). 

Banyak kajian menunjukkan amalan berpuasa dapat mengurangkan kadar penanda (marker) bagi penyakit kronik termasuk kanser, kencing manis dan penyakit jantung selain meningkatkan sistem imun dan mengawal peningkatan berat badan. 

Selain itu, pengambilan makanan yang teratur dengan cara mengelakkan makan pada lewat malam mampu mengekalkan kesihatan badan.

Ini kerana, makanan lebih cepat diproses oleh badan di awal pagi berbanding lewat malam, ditambah dengan kecekapan aliran darah. 

Beruntunglah kita sebagai Muslim yang disyariatkan Allah untuk berpuasa di bulan Ramadhan. 

Amalan puasa bukan sahaja memberi manfaat yang banyak kepada fizikal, malah turut memberi impak positif kepada rohani dan kesihatan mental kita. 

Lebih beruntung lagi, puasa kita bukan setakat menahan lapar dan dahaga, tetapi juga memelihara anggota badan dari melakukan kezaliman sama ada kepada diri sendiri atau kepada makhluk di sekeliling kita. 

Mudah-mudahan amalan puasa kita tidak terhad di bulan Ramadan semata-mata tetapi juga disusuli dengan puasa-puasa sunat seperti yang diamalkan oleh junjungan kita Rasulullah S.A.W.

DR HANI’AH ABDULLAH
Kelab PAS UK – HARAKAHDAILY 12/4/2023

Rujukan:

1) Krista A Varady et al. Am J Clin Nutr. 2007. Alternate-day fasting and chronic disease prevention: a review of human and animal trials.

2) Patterson et al. J Acad Nutr Diet. 2015. Intermittent fasting and human metabolic health.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -