Buku khas pupuk kesedaran OKU tentang politik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan menerbitkan buku Fiqh Siasah Orang Kelainan Upaya (OKU).

- Advertisement -

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, usaha itu sangat penting bagi memupuk kesedaran masyarakat mengenai golongan OKU dan politik.

Katanya, walaupun kekurangan dari segi fizikal dan mental, namun perkembangan tersebut tidak boleh diabaikan.

“Maknanya apabila mereka ada hak untuk mengundi dalam pilihan raya, mereka mengundi dalam keadaan sedar dan memahami hak sebagai pengundi dan sebagai warganegara bertanggungjawab.

“Jadi ini satu langkah pertama, kalau yang pekak maknanya kempen dalam bahasa isyarat perlu. Begitu juga OKU penglihatan perlu ada braille, eBook dan sebagainya,” katanya selepas persidangan OKU Darulnaim, di sebuah hotel di sini hari ini.

Seminar OKU mendepani cabaran itu turut dihadiri Timbalan Exco Rohani Ibrahim; Pengarah Urusetia Kebajikan Pembangunan Keluarga dan Wanita, Ilvira Mohd Dasuki dan Yang Dipertua Majlis Persefahaman OKU Kelantan, Ramli Abdul Rahman.

Mumtaz juga berkata, kerajaan tidak mahu melihat wujud kejadian yang tidak diingin termasuk memanipulasi golongan OKU ketika pilihan raya.

Menurutnya buku yang akan dikeluarkan tersebut merupakan panduan kepada OKU untuk membuat pilihan atau kriteria parti atau calon bertanding dalam pilihan raya. – HARAKAHDAILY 11/4/2023

- Advertisement -