Tarikh lihat anak bulan Syawal 20 April

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang Khamis, 20 April bersamaan 29 Ramadan 1444 Hijrah di 29 lokasi terpilih di seluruh negara.

- Advertisement -

Perkara itu dimaklumkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenankan oleh Raja-raja Melayu.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Majlis Raja-raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa melalui radio dan televisyen.

Sebanyak 29 lokasi dikenal pasti untuk melihat anak bulan Syawal iaitu Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting; Balai Cerap Selangor Sabak Bernam di Selangor; Pantai Pasir Panjang, Manjong di Perak; dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Lokasi lain yang turut terpilih ialah Kampung Pulau Sayak Kuala Muda, Pemandangan Indah Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu, Bukit Geliga, Kemaman, Pulau Perhentian Besut dan Balai Cerap KUSZA, Setiu di Terengganu.

Lokasi melihat anak bulan di Kelantan pula ialah Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu; manakala di Sarawak ialah Pusat Falak, Miri, Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu.

Di Sabah ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan dan Menara Universiti Malaysia Sabah; Kampus Antarabangsa Labuan; manakala di Pahang ialah Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Gunung Berincang dan Bukit Pelindong, Kuantan.

Tiga lagi lokasi ialah Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis. – BERNAMA

- Advertisement -