Mualaf usahakan pertanian tampung pembangunan surau

Surau Al Makwa di Kampung Penampatan Wariu, Kota Belud, Sabah ini dibangunkan oleh golongan mualaf daripada hasil pertanian.
- Advertisement -

KOTA BELUD: Golongan mualaf telah menjadikan aktiviti pertanian sebagai sumber pendapatan bagi menampung pembangunan dan aktiviti surau di sini.

Pengerusi Surau Al Makwa Kampung Penampatan Wariu, Marubin Limpakan berkata, pelbagai tanam-tanaman telah diusahakan di sekitar surau tersebut seperti jagung, padi dan nanas.

- Advertisement -

“Sempena Ramadan ini, pelbagai aktiviti di surau diadakan dan melibatkan penduduk tanpa mengira agama untuk membuka mata hati sekeliling agar lebih dekat dan kenal dengan Islam itu sendiri.

“Aktiviti di surau ini turut melibatkan penduduk bukan Islam seperti aktiviti berbuka puasa bersama dan bercucuk tanam sekitar surau,” ujarnya kepada HarakahDaily

Marubin yang telah memeluk Islam pada tahun 2006 berkata, surau kembali meriah dengan pelbagai aktiviti yang telah disusun sepanjang Ramadan.

Marubin Marubin Limpakan (kiri) dan Mustaqim Aling.

Menurutnya, surau itu terletak di Kampung Panampatan Wariu, di sini itu telah diimarahkan oleh penduduk mualaf yang tinggal berhampiran.

Dianggarkan penduduk yang tinggal di kampung tersebut kira-kira 500 orang dan sekitar 30 buah keluarga telah memeluk Islam.

Sehubungan itu, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kawasan Kota Belud telah menyampaikan sumbangan berbentuk barangan asas dapur kepada 19 buah keluarga muslim dan 7 buah keluarga bukan muslim di situ baru-baru ini. 

Sebanyak 23 buah set Buku Panduan Solat Lelaki dan Perempuan sumbangan Al Fateh turut disampaikan kepada semua keluarga mualaf manakala 30 set buku lagi kepada wakil penduduk Kampung Piasau yang turut hadir.

Surau Al Makwa Kampung Penampatan Wariu memberi sumbangan Ramadan buat orang bukan Islam tempatan.

Timbalan Yang Dipertua kawasan, Ustaz Mustaqim Aling berkata, mereka berusaha mencari dana bagi membantu surau-surau seperti ini yang berada di pedalaman agar terus hidup dan diimarahkan.

“Pihak kami juga  berharap agar lebih banyak lagi program dapat disusun untuk menyantuni golongan mualaf dan bukan Islam terutamanya di kawasan pedalaman seperti ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/4/2023

- Advertisement -