Di sebalik pencerobohan Ramadan di Al-Aqsa

- Advertisement -

Ketegangan di Baitulmaqdis memuncak selepas polis rejim Zionis Israel menyerang jemaah di pekarangan Masjid Al-Aqsa ketika bulan suci Ramadan.

Serbuan yang berterusan hingga pagi Rabu apabila tentera Israel sekali lagi dilihat menyerang dan menolak penduduk Palestin keluar dari pekarangan masjid dan menghalang mereka daripada berdoa – sebelum orang Israel dibenarkan masuk dengan perlindungan polis.

- Advertisement -

Apa yang berlaku di pekarangan Al-Aqsa?

Sebelum subuh pada Rabu lalu, polis Israel menyerbu pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, menyerang berpuluh-puluh jemaah di Masjid Qibli.

Mengikut saksi, polis Israel yang mendakwa mereka bertindak balas terhadap “rusuhan”, memukul jemaah dengan belantan dan menggunakan gas pemedih mata dan bom bunyi untuk memaksa mereka keluar dari dewan solat.

Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan wanita menjerit meminta tolong ketika kebakaran kecil meletus di dewan solat.

Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan 12 orang cedera, termasuk tiga orang yang dibawa ke hospital. Persatuan itu juga berkata dalam satu kenyataan bahawa tentera Israel menghalang pegawai perubatannya daripada sampai ke Al-Aqsa.

Mengikut pegawai tempatan, sekurang-kurang 400 penduduk Palestin ditahan dan kekal dalam tahanan Israel.

Mengapa pasukan polis dan tentera Zionis Israel memasuki masjid?

Polis Israel dalam satu kenyataan mendakwa bahawa mereka terpaksa memasuki pekarangan itu selepas `pengacau’ (merujuk kepada pejuang) Palestin mengunci diri dalam masjid dengan bunga api, kayu dan batu.

“Apabila polis masuk, batu dibaling ke arah mereka dan bunga api dilepaskan dari dalam masjid oleh sekumpulan besar pengacau,” kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa seorang pegawai polis cedera di kaki.

Polis Israel juga berkata bahawa menurut perjanjian sebelum ini dengan pihak berkuasa pekarangan Al-Aqsa, tiada sesiapa pun boleh bermalam dalam kawasan itu pada bulan Ramadan.

“Polis berkata mereka ‘secara aman’ cuba meyakinkan orang ramai untuk pergi, tetapi apabila itu tidak berlaku mereka memaksa masuk ke Al-Aqsa,” kata Natasha Ghoneim dari Al Jazeera.

Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin, Mohammad Shtayyeh, mengecam kejadian yang berlaku sebagai “jenayah besar terhadap jemaah”, sambil menambah bahawa “solat di Masjid Al-Aqsa bukan dengan izin pendudukan [Israel] … itu adalah hak kami.”

“Al-Aqsa adalah untuk rakyat Palestin dan untuk semua orang Arab dan Muslim, dan serangan itu adalah percikan revolusi menentang pendudukan,” tambahnya.

Polis rejim Zionis Israel menahan jemaah di pekarangan Masjid Al Aqsa

Adakah kejadian ini berlaku sebelum ini?

Sejak bertahun-tahun lalu, pekarangan Masjid Al-Aqsa sentiasa menjadi tumpuan umat Islam sepanjang Ramadan.

Tahun lalu, lebih 300 rakyat Palestin ditangkap dan sekurang-kurangnya 170 cedera ketika tentera Israel melancarkan pencerobohan di pekarangan itu pada bulan suci itu. Ini menyusuli keganasan maut di Tebing Barat yang diduduki pada akhir Mac menyebabkan 36 orang terbunuh.

Pada Mei 2021, tentera Israel menyerbu kawasan itu menggunakan gas pemedih mata, peluru keluli bersalut getah dan bom tangan mengejut terhadap jemaah semasa Ramadan. Beratus-ratus rakyat Palestin cedera, kejadian yang mendapat kecaman antarabangsa.

Perkembangan itu seiring dengan peningkatan kejadian keganasan terhadap rakyat Palestin oleh peneroka haram Yahudi dan tentera rejim Zionis di kejiranan Baitulmaqdis Timur, Sheikh Jarrah, ketika keluarga Palestin berdepan ancaman pengusiran paksa dari rumah mereka.

Konfrontasi di Baitulmaqdis dan Tebing Barat yang lebih luas memuncak dengan serangan Israel selama 11 hari di Semenanjung Gaza pada 10 Mei, yang membunuh sekurang-kurangnya 256 rakyat Palestin, termasuk 66 kanak-kanak, dan mencederakan lebih 1,900 orang.

Mengapa rakyat Palestin bimbang terhadap masa depan Al-Aqsa?

Pekarangan Al-Aqsa terletak di dataran tinggi Baitulmaqdis Timur yang ditawan Israel dalam Perang Enam Hari 1967 dan kemudian digabungkan dalam tindakan haram yang tidak diiktiraf oleh kebanyakan masyarakat antarabangsa.

Bagi umat Islam, kawasan itu menempatkan tapak ketiga paling suci Islam, Masjid Al-Aqsa dan struktur abad ke-7, Dome of the Rock, kawasan Nabi Muhammad SAW melakukan perjalanan Israk Mikraj.

Bagi orang Yahudi, mereka percaya kawasan itu pernah menempatkan kuil Yahudi yang dikenali sebagai Temple of Mount. Tapak yang dipertikaikan itu menjadi tumpuan pendudukan Israel selama beberapa dekad di Tebing Barat.

“Baitulmaqdis, mungkin isu nombor satu yang berpotensi mencetuskan keganasan berskala luas. Kami telah melihatnya pada masa lalu,” kata Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Tinjauan Palestin, Khalil Shikaki.

Rakyat Palestin melihat Al-Aqsa sebagai antara beberapa simbol negara yang mereka mengekalkan beberapa elemen kawalan. Bagaimanapun, mereka bimbang dengan pencerobohan secara beransur-ansur oleh kumpulan Yahudi seperti yang berlaku di Masjid Ibrahimi di Hebron apabila separuh daripada masjid itu dijadikan synagogue (rumah ibadat Yahudi) selepas 1967.

Mereka juga khuatir dengan gerakan sayap kanan Israel yang mahu merobohkan struktur Islam di pekarangan Masjid Al-Aqsa dan membina kuil Yahudi di sana.

Jemaah yang memasuki Masjid Al Aqsa diawasi anggota polis Israel

Kenapa Yahudi hendak memasuki kawasan Al-Aqsa?

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan besar nasionalis Yahudi kerap memasuki pekarangan Al Aqsa dengan pengiring polis, sesuatu yang dilihat oleh rakyat Palestin sebagai tindakan provokasi.

Awal minggu ini, Menteri Keselamatan Negara berhaluan kanan Israel, Itamar Ben-Gvir, menggalakkan orang Yahudi melawat pekarangan Al-Aqsa untuk menandakan cuti Paskah (Passover) akan datang, yang bertepatan dengan bulan suci Ramadan.

Pada masa sama, kumpulan serpihan Yahudi, termasuk Return to Temple Mount, menawarkan hadiah wang tunai kepada sesiapa sahaja yang pergi ke Masjid Al-Aqsa dan mengorbankan seekor kambing – upacara keagamaan Yahudi yang dilarang di dalam masjid dan akan mencetuskan provokasi. – AL JAZEERA

- Advertisement -