Qunut Nazilah: Serangan ke atas warga Palestin

- Advertisement -

BEBERAPA tahun kebelakangan ini kita melihat bahawa usaha Israel untuk memerangi umat Islam sepanjang Ramadan.

Antaranya pada 2014, serangan dibuat selama 7 minggu dan mengorbankan lebih 2,000 nyawa yang terbunuh.

Menjelang Ramadan 2018, Israel menyerang para penunjuk perasaan di Tebing Gaza dan membunuh lebih 60 orang. Pada 2019, serangan udara dibuat oleh Israel mengorbankan sekitar 20 nyawa.

Pada 2020, mereka menyekat rakyat Palestin yang bersolat Jumaat. Perkara yang sama turut terjadi pada Ramadan 2021. Sehingga Mei, seramai 200 korban telah dicatatkan.

Pada Ramadan 2022 berlaku pertembungan yang sama di pekarangan al-Aqsa. Lebih 200 orang awam cedera, seorang syahid, dan 400 ditangkap.

Pada hujung Sya’ban tahun ini, Israel mengambil pendekatan memperketatkan kemasukan ke al-Aqsa. Mereka mengenakan permit kepada semua lelaki Palestin berusia 45 hingga 55 tahun untuk memasuki kawasan itu sepanjang bulan Ramadan.

Baru-baru ini, kita dikejutkan sekali lagi dengan serangan ke atas orang awam Palestin di perkarangan al-Aqsa. 

Kezaliman yang dilakukan oleh tentera Israel ini dilakukan secara terbuka. Negara-negara Arab banyak yang membisu. Ada yang menjalinkan hubungan normalisasi dengan Israel.

Walaupun ada usaha untuk mengendurkan pertembungan melalui rundingan yang diadakan sebelum Ramadan di Sharm Syeikh, Mesir.

Namun rundingan tersebut dilihat tidak berhasil dengan situasi yang ada sekarang ini.  

Umat Islam seluruh dunia perlu menzahirkan sokongan terhadap penindasan yang dilakukan terhadap orang awam Palestin.

Antara yang dianjurkan oleh Nabi S.A.W adalah dengan membaca Qunut Nazilah. Baginda S.A.W pernah membaca doa Qunut Nazilah ketika mana berlakunya suatu pengkhianatan dan pembunuhan ke atas beberapa Sahabat Nabi S.A.W. 

Terdapat beberapa Hadis yang menceritakan kejadian tersebut, antaranya yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A meriwayatkan bahawa:

- Advertisement -

أَنَّ رِعْلاً، وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ اسْتَمَدُّوا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَدُوٍّ، فَأَمَدَّهُمْ بِسَبْعِينَ مِنَ الأَنْصَارِ، كُنَّا نُسَمِّيهِمُ الْقُرَّاءَ فِي زَمَانِهِمْ، كَانُوا يَحْتَطِبُونَ بِالنَّهَارِ وَيُصَلُّونَ بِاللَّيْلِ، حَتَّى كَانُوا بِبِئْرِ مَعُونَةَ قَتَلُوهُمْ، وَغَدَرُوا بِهِمْ، فَبَلَغَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم، فَقَنَتَ شَهْرًا يَدْعُو فِي الصُّبْحِ عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ، عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ‏.‏

“Bahawasanya Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan meminta bantuan daripada Nabi S.A.W untuk menyediakan kepada mereka beberapa orang lelaki untuk memerangi musuh mereka. Maka Baginda S.A.W menghantarkan kepada mereka tujuh puluh orang lelaki dari golongan Ansar yang dikenali sebagai Al-Qura’ (penghafaz al-Quran). Maka mereka ini membantu untuk mengumpul kayu api pada siang, dan bermunajat kepada Allah pada waktu malam. Ketika mana mereka (golongan Ansar) sedang berada di lembah Ma’una, mereka dibunuh dan dikhianati. Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah, Baginda membaca Qunut (Nazilah) selama sebulan dalam solat subuh mendoakan (kecelakaan) ke atas puak Arab, Ri’lan, Zakwan, Usaiyah dan puak Lahyan.”

(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Di dalam Shahih Muslim, meriwayatkan antara Qunut Nazilah yang dibacakan oleh Baginda S.A.W bagi menyelamatkan golongan yang lemah yang ditindas di Makkah;

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْوَلِيدَ بْنَ الْوَلِيدِ ، اللَّهُمَّ نَجِّ سَلَمَةَ بْنَ هِشَامٍ ، اللَّهُمَّ نَجِّ عَيَّاشَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ ، اللَّهُمَّ نَجِّ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

“Ya Allah, selamatkanlah al Walid bin al Walid. Ya Allah, selamatkanlah Salamah bin Hisham. Ya Allah, selamatkanlah Ayyash bin Abi Rabi’ah. Ya Allah, selamatkanlah golongan yang lemah di kalangan orang beriman.”

Begitu juga Baginda S.A.W mendoakan ke atas beberapa Kabilah Arab yang sangat keras menentang perjuangan Baginda S.A.W;

اللَّهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى مُضَرَ ، اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا عَلَيْهِمْ سِنِينَ كَسِنِي يُوسُفَ

“Ya Allah, timpakan kepayahanMu kepada Kaum Mudhor. Ya Allah jadikan mereka seperti tahun tahun kepayahan di zaman Nabi Yusuf.”

Amalan ini turut diteruskan oleh para Sahabat R.A, antaranya yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar R.A ketika memerangi kumpulan Munafiq dan ahli kitab. Ia disebutkan di dalam kitab مرقاة المفاتيح

Begitu juga di dalam الفتوحات الربانية ada menceritakan bahawa Saidina Umar R.A membaca Qunut Nazilah di dalam solat ketika memerangi golongan Nasrani.

Justeru, umat Islam diseru untuk membaca Qunut Nazilah bagi menghadapi musibah yang sedang melanda rakyat Palestin pada hari ini.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS
Negeri Perak
6 April 2023 – HARAKAHDAILY 6/4/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!