SANTA CATARINA, Brazil: Seorang lelaki bersenjatakan kapak melompat ke atas tembok dan menceroboh pusat jagaan kanak-kanak selatan Brazil, membunuh empat kanak-kanak dan mencederakan sekurang-kurangnya lima yang lain.
Pihak berkuasa berkata, penyerang berusia 25 tahun yang kemudian menyerahkan diri di balai polis tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pusat jagaan tersebut yang menawarkan perkhidmatan taska, pendidikan prasekolah dan aktiviti selepas sekolah, lapor CBS News.
“Mangsa yang maut berusia antara 5 dan 7 tahun” kata pihak berkuasa.
Gabenor negeri Santa Catarina ,Jorginho Mello, dalam akuan Twitternya mengesahkan kematian dan penahanan suspek dalam serangan yang berlaku pada Rabu (5 Mac), waktu tempatan, yang berlaku di bandar Blumenau.
“Penyiasat sedang mencari motif serangan,” ujar seorang detektif polis kepada wartawan televisyen di Blumenau,yang terletak berhampiran pantai Atlantik selatan Brazil.
Imej yang disiarkan di rangkaian TV menunjukkan ibu bapa menangis di luar pusat jagaan swasta, yang dikenali sebagai Cantinho do Bom Pastor.
Di tengah-tengah khabar angin di media sosial mengenai kemungkinan serangan lain, Datuk Bandar Blumenau, Mário Hildebrandt, berkata bandar itu menggantung kelas dan akan mengisytiharkan tempoh berkabung selama 30 hari.
Beliau juga berkata lima kanak-kanak yang cedera dibawa ke hospital, seorang daripada mereka dalam keadaan serius.
Serangan sekolah di Brazil telah berlaku dengan lebih kerap dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada minggu lalu, seorang pelajar di Sao Paulo menikam seorang guru menyebabkan kematiannya dan mencederakan beberapa yang lain di Sao Paulo.
Pada tahun 2021, seorang lelaki berusia 18 tahun memasuki sebuah pusat asuhan di bandar Saudades, juga di negeri Santa Catarina, dengan pisau atau belati dan menikam tiga kanak-kanak dan seorang guru maut.
Sementara, menurut laporan daripada penyelidikan untuk kerajaan pimpinan Presiden, Luiz Inácio Lula da Silva yang diketuai profesor pendidikan di Universiti Sao Paulo, Daniel Cara, sebanyak 16 serangan atau episod keganasan berlaku di sekolah, empat daripadanya pada separuh kedua tahun lalu.
“Tiada kesedihan yang lebih besar daripada keluarga yang kehilangan anak atau cucu, lebih-lebih lagi dalam tindakan keganasan terhadap kanak-kanak yang tidak bersalah dan tidak berdaya,” tulis Lula pada Rabu (5 Mac) di Twitter mengulas kejadian serangan terbaharu itu
“Fikiran dan doa saya adalah keluarga mangsa dan masyarakat Blumenau dalam menghadapi keganasan yang berlaku,” tambahnya
Blumenau merupakan sebuah bandar dengan populasi 366,000 terkenal dengan festival tahunannya, Oktoberfest. – HARAKAHDAILY 6/4/2023