Program i-Sinar buat pencarum terkenang jasa Abah

- Advertisement -

PENCARUM ada wang di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun dicadang kerajaan boleh cagar di bank untuk memohon pinjaman.

- Advertisement -

Hebatkan. Lagi pun kita tahu, bank bukan beri pinjaman percuma tanpa kadar faedah. Perkhidmatan disediakan bank perlu dibayar. Bukan kadar faedah kosong. Bank entiti perniagaan, bukan badan kebajikan.

Kalau koperasi sekali pun ada kadar faedah dikenakan. Mungkin kadarnya lebih rendah berbanding bank.

Menurut kenyataan Perdana Menteri kadar faedah antara 4 hingga 5 peratus setahun akan dikenakan bagi pinjaman bercagarkan Akaun 2 KWSP.

Kata Anwar Ibrahim kadar itu jauh lebih rendah daripada kadar pasaran semasa pembiayaan peribadi sekitar 8 hingga 15 peratus.

Harapan kerajaan PH-BN kemudahan itu boleh memberi manfaat lebih 4 juta pencarum KWSP bawah umur 55 tahun yang layak.

Nampak luar biasa idea kerajaan Malaysia Madani. Sedangkan pencarum ada wang simpanan mereka di KWSP. Kalau dibenarkan seperti era kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak perlu mereka bersusah payah pergi ke bank.

Cuba kita bayang kalau idea kerajaan Madani dipraktik ketika pandemik Covid-19. Hendak keluar wang sendiri kena cagar akaun simpanan KWSP kepada bank.

Tentunya kita masih ingat program i-Sinar dan i-Lestari KWSP yang diperkenalkan kerajaan PN bagi meringankan beban pencarum. Bukankah ia jasa Abah.

Pengeluaran i-Lestari diperkenalkan pada 3 Mac 2020. Ia membabitkan inisiatif pengeluaran sebanyak RM500 yang dimulakan pada 1 April 2020. Pengeluarannya dilapor berjumlah RM30 bilion.

Kemudian muncul pula i-Sinar. Kelulusan syarat turut dipermudah dengan mengambil kira sentimen rakyat. Dianggar kira-kira RM18.5 bilion dikeluarkan di bawah i-Sinar.

Sejak permohonannya dibuka pada Disember 2020 ia ternyata memberi manfaat kepada 3.3 juta pencarum KWSP. Situasi itu berlaku lebih dua tahun lepas.

Namun, kerajaan PH-BN seolah menutup rapat pintu KWSP. Kerajaan berulang kali menyebut pengeluaran wang bersasar tidak dibenarkan kerana bimbang di hari tua pencarum tiada lagi wang.

Alasan itu juga diberi Menteri Kewangan dan ramai lagi menteri kerajaan PH-BN. Tidak ketinggalan juga Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau dilapor berkata, KWSP diwujud untuk pencarum mempunyai simpanan di hari tua. Alasan kedua tidak benarkan pengeluaran bersasar bagi menghadkan keupayaan KWSP mengukuhkan strategi pelaburan demi mendapat keuntungan lebih baik.

Nampaknya kerajaan lebih mengutamakan dana yang boleh mengukuh perniagaan bagi KWSP mendapat keuntungan lebih besar. Rakyat tentunya lebih faham alasan kerajaan mengapa pintu KWSP ‘ditutup’.

Risiko lebih besar

Sedangkan ramai pakar ekonomi berhujah sebaliknya. Dr Mohd Arzanizam dari Bank Muamalat dilapor bimbang risiko pinjaman Fasiliti Sokongan Akaun 2 tidak mampu dilunaskan pada masa ditetapkan bank.

Begitu juga Dr Faisol Ibrahim dari USIM menggambarkan skim pinjaman tersebut bertentangan dengan usaha kerajaan membantu meringan beban rakyat.

Lebih parah lagi bank mengenakan caj sebanyak 4 peratus. “Adakah pihak bank hanya mengautkan keuntungan berdasar pinjaman daripada pelanggan,” katanya seperti dilapor media.

Isunya adakah meminjam di bank dengan mencagar caruman di KWSP, tidak menyebabkan wang simpanan mengecil. Ia boleh berlaku apabila peminjam gagal menjelaskan wang pinjaman.

Risikonya jauh lebih tinggi. Bukan sekadar boleh diisytihar bankrapsi, sebaliknya wang simpanan hari tua juga hangus.

Risiko itu tidak dapat ditolak. Kata orang tua-tua terlepas mulut buaya masuk mulut harimau. Idea seumpama itu seolah tidak mencerminkan tamadun Malaysia.

Maka tidak hairanlah Rabu minggu lepas Dewan Rakyat kecoh seketika selepas usul mengenai pengeluaran bersasar KWSP ditolak Speaker.

Episod bermula apabila Wan Ahmad Fayhsal (PN-Machang) bangun menggunakan Peraturan Mesyuarat 18 (1) untuk membincang mengenai pengeluaran wang KWSP secara bersasar.

Menurutnya usul dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, Jumaat lalu. Namun ditolak kerana isu itu sudah dijelaskan Perdana Menteri.

Timbalan Yang Dipertua Alice Lau Kiong yang mempengerusikan mesyuarat ketika itu memberitahu dia tidak boleh mengetepikan keputusan dibuat Speaker.

Sedangkan kata Wan Fayshal perbincangan isu tersebut penting. Lagi pun sesi Dewan Rakyat melabuh tirai 4 April. Ekoran itu kesemua ahli parlimen PN keluar dewan seketika. Mereka bertindak demikian sebagai protes.

Ketika sidang media selepas itu Ketua WHIP Parlimen PN Takiyuddin Hasan menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan pencarum KWSP diberi peluang menggunakan caruman sebagai cagaran di bank mengelirukan.

Malah beliau mendakwa kenyataan itu bertentangan dengan Akta KWSP.

Kebimbangan mereka ada asasnya. Seorang pemandu teksi Norazlan Ismail berjalan kaki sejauh 312 kilometer dari Tol Skudai ke Istana Negara membawa misi pengeluaran caruman KWSP bersasar.
Malangnya ia tidak dihiraukan kerajaan. Menurut Azlan rakyat sepertinya sangat memerlukan (wang KWSP) untuk menyelesaikan hutang.

Jangan marah kalau disebut orang, koleksi 200 hari kedua usia kerajaan PH-BN kelihatan semakin banyak kecelaruan muncul. – HARAKAHDAILY 6/4/2023

- Advertisement -