SAYA menggesa kerajaan memastikan perancangan pembinaan sekolah baharu pada masa akan datang mengambil kira keluasan bilik darjah yang kondusif dan mewajibkan jumlah murid di dalam satu bilik darjah kurang daripada 30 orang. Perkara ini sudah tentu mengambil kira jangkaan kepadatan penduduk selain seiring dengan pembangunan di kawasan tersebut bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan secara tuntas.
Isu ini merupakan perkara yang telah lama dibangkitkan dan hingga kini belum ada jalan penyelesaian yang konkrit daripada pihak kerajaan. Jawapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak dapat menjangka bilakah isu ini akan berakhir secara holistik. Selain itu, kerajaan juga tidak serius dalam memastikan pembinaan bangunan baru untuk tambahan kelas bagi mengurangkan kepadatan murid dapat dilaksanakan dengan kadar segera dan inklusif.
Seperti yang telah saya bangkitkan dalam perbahasan bajet sebelum ini, saiz bilik darjah sepatutnya terhad kepada 15 hingga 20 orang murid sahaja sama ada di peringkat rendah mahupun menengah dan bukannya melebihi 30 orang sehingga mencetuskan pelbagai masalah.
Oleh itu, saya percaya kesempitan bilik darjah dengan jumlah murid yang ramai sudah tentu menimbulkan suasana pembelajaran yang tidak kondusif dan selesa sehingga menjejaskan mutu dan kualiti pembelajaran murid-murid yang merupakan permata berharga negara.
“Malaysia Sejahtera”
YB SENATOR DATO’ HUSAIN AWANG
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 6/4/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!