Banyakkan berdoa, jangan alpa

- Advertisement -

DARIPADA Abi Hurairah Rha, Nabi SAW telah bersabda:

…… ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ يَرْفَعُهَا فَوْقَ الْغَمَامِ وَتُفَتَّحُ لَهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَيَقُولُ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ وَعِزَّتِي لَأَنْصُرَنَّكِ وَلَوْ بَعْدَ حِينٍ

Tiga pihak yang tidak ditolak doa mereka. Iaitu imam yang adil, orang yang berpuasa ketika dia berbuka dan munajat orang yang dizalim, Allah mengangkatnya melepasi awan dan dibukakan untuknya pintu-pintu langit. Lalu Tuhan Azza wa Jalla berfirman: Demi Kemuliaan-Ku, nescaya Aku pasti akan menolongmu seketika nanti. (Riwayat Imam Tirmizi dan Ibn Hibban. – Syeikh Syuaib Al Arna’ut menilainya sebagai sahih)

- Advertisement -

Kefahaman hadis

Melalui riwayat Imam Ahmad, terdapat sedikit beza pada matan hadis iaitu‎ حين يفطر kepada lafaz حتى يفطر. Justeru itu, ulama mempunyai beberapa pentafsiran terhadap hadis ini.

Sebahagiannya menegaskan bahawa doa orang berpuasa tidak akan ditolak oleh Allah SWT bila pun masa dia berdoa ketika dia sedang berpuasa. Ini termasuk pendapat Imam Al Munawi. (Al Taisir bi Syarhi Jami’ Al Saghir)

Sementara sebahagian yang lain menyebut detik berbuka puasa itulah paling mustajab untuk berdoa, lantaran selesai menjalani ibadah puasa pada hari itu. Al Mubarakfuri juga menyebut demikian. (Tuhfah al Ahwazi)

Jangan alpa. Berdoalah bila pun ada kesempatan di sepanjang masa kita berpuasa termasuk waktu berbuka puasa. Tentu sahaja setiap insan ada alasan tersendiri untuk dia berdoa kepada Allah SWT. Inilah kesempatan terbaik.

Allah SWT senantiasa dekat dengan hamba-Nya yang sering berdoa. Rebut peluang hari dan bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini untuk mengadu hal (munajat) kepada Allah SWT.

Hayati firman Allah SWT:

‎وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Dan Tuhan kamu telah berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina. (Surah Ghafir: ayat 60)

NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI
Penasihat
Pondok Pengajian Turath Amanullah Sungai Choh Selangor
Musolla Ar Raudhah Pelindung Perdana Beserah Pahang
15 Ramadhan 1444 / 6 April 2023 – HARAKAHDAILY 6/4/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!