KWSP untuk persaraan, bukan untuk cagaran

- Advertisement -

MEMBENARKAN pengeluaran KWSP ketika ini dikatakan ‘defeat the purpose‘ sebagai menyimpang dari tujuan asal atau gagal mencapai tujuan ia diwujudkan, dan saya bersetuju jika kita bercakap soal prinsip. 

Namun persoalannya tidakkah mencagarkan wang simpanan KWSP bagi memperolehi kemudahan pinjaman bank itu juga melanggar atau menyimpang dari tujuan asal KWSP ditubuhkan?

5 sebab utama mengapa saya tidak bersetuju dengan cadangan KWSP dicagarkan bagi mendapat kemudahan pinjaman atau pembiayaan dari pihak Bank; 

1. Jika pandangan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa tujuan KWSP ini adalah untuk simpanan masa depan bagi menyediakan manfaat persaraan kepada pekerja, maka Perdana Menteri juga perlu menilai semula bahawa simpanan KWSP ini juga ditubuhkan bukan untuk dijadikan cagaran bagi mana-mana perjanjian pinjaman atau pembiayaan kewangan.

2. Perdana Menteri yang juga selaku Menteri kewangan perlu jelaskan bagaimana cagaran ini dikatakan tidak bertentangan dengan Akta KWSP 1991. Sedangkan tiada peruntukan dalam Seksyen 51 yang membolehkan wang simpanan itu dicagarkan.

Disebut dengan jelas dalam Seksyen 51 (1), caruman dan deposit tidak boleh diserah hak atau ditahan walau apa jua berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis yang lain boleh diserah hakkan, dipindahkan, ditahan, disekuesterkan atau dilevikan ke atasnya, bagi atau berkenaan dengan apa-apa hutang atau sebarang tuntutan.

3. Jika alasan tertakluk kepada kuasa Menteri ia juga tidak dijelaskan dalam mana-mana peruntukan khusus kepada Menteri untuk mengatasi Seksyen 51 di atas, Menteri Kewangan perlu jelaskan kepada rakyat atas dasar apa dibenarkan tindakan mencagarkan wang simpanan KWSP ini.

4. Jika mahu juga ia dilaksanakan maka perkara tersebut perlu dibawa ke Parlimen untuk dipinda terlebih dulu, sebagaimana yang disebut oleh Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood ahli Majlis Profesor Negara (MPN) yang menyatakan bahawa ‘sebarang pelaksanaan polisi baharu untuk membenarkan cagaran menggunakan KWSP tidak sah tanpa meminda akta sedia ada.’

5. Sekalipun perkara ini dilaksanakan jua, sebagai seorang pegawai bank yang pernah terlibat dalam urusan litigasi bank (litigation) di mahkamah, saya melihat akan adanya masalah apabila pinjaman tidak berbayar dan bank mahu mengambil tindakan ‘forfeited’ dilucutkan hak peminjam ke atas cagaran KWSP mereka yang mana peruntukan melucutkan hak amaun kredit ahli yang disebut dalam Seksyen 51(2) hanya tertakluk kepada suatu perintah pelucutan hak oleh mahkamah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) sahaja.

Pengumuman Pinjaman KWSP kali ini dilihat sangat gopoh dan kurang dipersetujui oleh pelbagai pihak termasuk pakar ekonomi, pakar perundangan dan pencarum itu sendiri kerana kaedah ini hanya menambahkan lagi beban pencarum yang terpaksa menanggung komitmen tambahan bayaran hutang bulanan dan kadar faedah dikenakan bank. 

Malah kebenaran untuk peminjam yang disebut oleh Anwar hanya kepada pencarum yang mempunyai simpanan wang caruman yang besar sahaja, sedangkan mereka yang memerlukan itu bukanlah bergaji besar yang mempunyai caruman besar dalam KWSP mereka.

Walaupun saya masih berpendirian bahawa wang simpanan pekerja ini tidak boleh dikeluarkan kerana prinsipnya ia adalah simpanan persaraan bagi pencarum, namun dalam keadaan tertentu demi kelangsungan hidup dan pemulihan ekonomi keluarga maka daripada dicagarkan ia adalah lebih baik dibenarkan keluar dengan nilai yang minima agar simpanan itu mampu bertahan untuk hari persaraan nanti.

Pandangan peribadi:

SHEHDI HAZRIK SHAMSUDIN 
Pegawai Bank – HARAKAHDAILY 5/4/2023

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02TcA6GLXFafWKnck5mRjsMArS5FxBrP7WrKPxP6fT9Q7GWQPrQ11VeZMmtdZ4SAXRl&id=1159560821&mibextid=Nif5oz 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -