KUALA LUMPUR: Senator Mohd Apandi Mohamad mencadangkan tenaga mahir di negara ini dihantar bekerja di luar negara bagi mencari ilmu dan pengalaman.
Menurutnya, tenaga kerja mahir yang dihantar ke luar negara dapat memberi kelebihan kepada negara.
“Kita jadikan satu advantage umpamanya menghantar mereka ke China, India, Jepun dan Korea. Biar mereka bekerja di tempat strategik dan balik nanti dapat membantu membangunkan negara.
“Apabila mereka duduk di sana lama dapat menimba ilmu dan pengalaman yang boleh dimanfaatkan setelah pulang ke negara sendiri,” katanya semasa mencelah penggulungan Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud, di Dewan Negara, hari ini.
Bagaimanapun Mustapha berkata, negara perlu mengimbangkan di antara keperluan tenaga mahir untuk dihantar ke luar negara.
Katanya, ia merupakan cabaran cukup besar yang secara tidak langsung dapat memotivasikan kitaran bakat.
“Contoh yang paling baik ialah Tan Sri Michelle Yeoh, bagi kita ini ikon, tokoh kita yang berjaya di luar negara.
“Tetapi pada masa sama kita perlu memikirkan bagaimana mahu memastikan tenaga mahir di negara kita cukup dan tidak kita hanya bergantung kepada tenaga pekerja asing,” katanya. -HARAKAHDAILY 5/4/2023