KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pertahanan mengakui cabaran begitu besar kepada kerajaan untuk menyiapkan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) selepas kehilangan dana RM6 bilion.
Adly Zahari berkata, baki peruntukan pembinaan tersebut sekarang sebanyak RM3 bilion membolehkan projek tersebut diteruskan.
Katanya projek kapal tempur pesisir pantai terbabit bernilai RM9.13 bilion.
“Kita tahu daripada pembangunan LCS keseluruhan RM9 bilion yang diperuntuk kita telah membelanjakan sekitar RM6 bilion dan berbaki sekitar RM3 bilion.
“Dengan RM3 bilion kita sedaya upaya berusaha menyiapkan kapal pertama pada tahun hadapan,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Teo Eng Tee di Dewan Negara hari ini.
Eng Tee sebelum itu meminta penjelasan kerajaan mengenai kos yang akan ditanggung sebagai bayaran penyelenggaraan dan operasi bagi setiap kapal LCS.
Timbalan Menteri Pertahanan berkata, pihaknya berharap usaha dapat diteruskan semula selaras dengan objektif pertahanan negara yang terkandung dalam Kertas Putih Pertahanan Negara.
Menurut laporan media sehingga kini tiada satu pun kapal LCS disiapkan, biar pun kerajaan di bawah era BN membayar sebanyak RM6 bilion untuk pelaksanaan projek tersebut.
Pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu dihentikan ekoran siasatan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada Ogos 2022. – HARAKAHDAILY 5/4/2023