RUU Produk Tembakau dan Merokok dibentangkan Mei

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited untuk melaksanakan Dasar Generasi Penamat (GEG) menerusi pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, pihaknya sedang mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memperhalusi RUU itu.

- Advertisement -

Menurutnya, KKM juga dalam proses untuk mengeluarkan produk cecair atau gel nikotin dalam Akta Racun 1952 sebelum mengenakan cukai terhadap penggunaan rokok elektronik (e-rokok) dan vape.

“Kita akan membentangkan RUU ini pada sesi persidangan akan datang pada 22 Mei 2023 dan sudah pasti kita merayu sokongan ahli dewan untuk melahirkan generasi bebas rokok.

“Keputusan untuk mengeluarkan nikotin dari Akta Racun buat sementara waktu supaya sebahagian kutipan cukai akan disalurkan kepada KKM bagi tujuan perawatan,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Balasubramaniam Nachiappan di Dewan Negara, hari ini.

Dalam soalan asalnya, Balasubramaniam meminta kerajaan memberi penjelasan mengenai perkembangan terkini serta hasil pelaksanaan GEG.

Melalui kempen itu, Lukanisman berkata, saringan membabitkan kumpulan sasar utama di sekolah rendah dan menengah dilaksanakan menerusi program kesihatan oral tanpa amalan merokok.

Katanya, murid yang merokok akan diberikan intervensi berhenti merokok, manakala mereka yang tidak merokok diberikan pendidikan kesihatan berterusan bagi memastikan kekal tidak merokok.

“Pada tahun 2022, seramai dua juta murid sekolah disaring dan daripada jumlah itu, seramai 341 murid didapati merokok. Di sekolah menengah pula, 1.3 juta pelajar disaring dan 43,019 pelajar didapati merokok dan diberikan intervensi berhenti merokok oleh pasukan pergigian kementerian,” katanya.

Selain itu, katanya program itu dijalankan di sembilan institusi pengajian tinggi serta memperluaskan kempen kepada belia yang tidak memasuki menara gading dengan kerjasama NGO belia. – HARAKAHDAILY 4/4/2023

- Advertisement -