Pantau kadar keuntungan syarikat rokok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Mohd Apandi Mohamad mencadangkan bagi memastikan kempen Dasar Generasi Penamat (GEG) Anti-Rokok 18 (Gegar-18) berjaya, kerajaan perlu memantau kadar keuntungan dan kerugian syarikat pengeluar rokok.

Menurutnya, jika syarikat berkenaan mencatatkan keuntungan setiap tahun, ini bererti agenda kerajaan untuk mencapai sifar perokok menemui kegagalan.

- Advertisement -

“Kerajaan boleh melihat sejauh mana kejayaan ini dengan melihat hasil syarikat pengeluar rokok, kerajaan ada memantau tak pendapatan syarikat rokok ini saban tahun.

“Apakah trend jualan, adakah hasil mereka menurun atau semakin menaik. Kalau semakin menurun, bermakna program kerajaan berjaya dan kalau naik, masih belum berjaya,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni menjelaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai maklumat yang jelas mengenai hasil jualan syarikat rokok.

Beliau berkata, pengalaman berada dalam Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai draf undang-undang anti merokok sebelum ini mendapati penurunan hasil jualan rokok dalam negara.

“Tetapi kesan rokok mungkin disebabkan penjualan rokok haram dan pasaran gelap serta kita dapat lihat penurunan kadar merokok dalam kalangan masyarakat hari ini, walaupun tiada angka sebenar.

“Kementerian nak kurangkan tekanan dan beban memandangkan kos untuk merawat penyakit seperti kanser akibat asap rokok amat tinggi, RM2 bilion hingga RM3 bilion,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/4/2023

- Advertisement -