KWSP: Bank masih boleh tolak permohonan pencarum

Ahmed Razman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Jika KWSP membenarkan pinjaman sekalipun, apabila pencarum pergi ke bank untuk meminjam, bank masih lagi boleh tolak permohonan tersebut disebabkan skor kredit (credit score) pencarum yang tidak berkelayakan.” 

Demikian kenyataan Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff sebagai respons terhadap pelaksanaan kerajaan dalam menjadikan KWSP sebagai cagaran hutang yang akan bermula pada 7 April ini.

- Advertisement -

Beliau yang merupakan Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS) memberitahu bahawa ia tidak menyelesaikan masalah sebab kelulusan pinjaman masih di tangan pihak bank.

“Justeru, menjadikan KWSP sebagai cagaran hutang oleh pihak kerajaan tidak menyelesaikan apa-apa masalah (rakyat),” tegasnya kepada HarakahDaily.

Menurut beliau, rakyat akan tetap menanggung bebanan hutang walaupun kadar faedah yang dikenakan adalah 5 peratus dan ke bawah sekalipun.

“Sepatutnya kerajaan jangan sentuh langsung duit KWSP kerana  banyak sumber lain yang boleh digunakan bagi menghadapi setiap masalah kewangan sebegini,” tegasnya.

Menyentuh mengenai langkah kerajaan boleh laksanakan tanpa menyentuh wang KWSP, beliau berpendapat bahawa kerajaan boleh membantu setiap pencarum KWSP yang menghadapi masalah kewangan dengan membawa mereka berjumpa pejabat zakat, wakaf, jabatan kebajikan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak persendirian sebagai alternatif.

“Sebagai kajian kes, ketika pandemik kempen Bendera Putih berjaya mendapatkan bantuan kewangan dan makanan dari pelbagai pihak termasuk individu dan komuniti.

“Kempen yang sama boleh dilakukan untuk membantu individu yang bermasalah, dan tidak semestinya hanya kepada  pencarum KWSP semata-mata,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/4/2023

- Advertisement -