ALOR SETAR: Rakyat diingatkan agar jangan terpedaya taktik individu tertentu yang cuba memberi gambaran buruk terhadap Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN).
Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azzamuden berkata, kemungkinan individu terbabit ialah ‘scammer’ yang cuba memburukkan dirinya.
“Pejabat Ahli Parlimen Alor Setar ini sudah ada. Alamat pun ada dan berkongsi dengan pejabat PAS Kawasan Alor Setar,” katanya melalui hantaran di media sosial, hari ini.
Beliau menjelaskan hal berkenaan, susulan tular di media sosial (keratan perbualan di aplikasi WhatsApp) kononnya pihaknya tidak mempunyai pejabat penyelarasan serta tidak membantu menyalurkan bantuan kepada mangsa ribut di kawasan berkenaan.
Menurutnya, walaupun pihaknya tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan termasuk pengurusan Pusat Khidmat namun bantuan tetap disalurkan menggunakan wang sendiri.
“Awas dengan scammer ini. Buat dosa kering di bulan mulia ni. Tapi terima kasihlah sebab tolong promote (promosi),” ujarnya.
Afnan juga memaklumkan sebarang aduan sama ada melibatkan kejadian ribut, bencana atau lain-lain, akan dilayan oleh Pegawainya Khas beliau di Alor Setar terutama ketika beliau menghadiri Sidang Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur.
“Walaupun tiada peruntukan khas daripada Kerajaan Persekutuan, tapi kami cuba layan dan uruskan semampu mungkin.
“Ada lawatan dibuat. Ada yang dipanjangkan kepada agensi kerajaan yang berkenaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/4/2023