Jangan jadi ‘elephant fight elephant, the grass will suffer’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “When elephant fight elephant, the grass will suffer”, ayat yang digunakan Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu, diulangi Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bagi menggambarkan kebimbangan mengenai persaingan antara China dan kuasa Barat di Asia Tenggara.

Walaupun kelihatan berseloroh, Setiausaha Agung PAS meminta penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sama ada isu keselamatan turut dibincangkan ketika lawatan ke China.

“Saya sedar bahawa lawatan Perdana Menteri ke China adalah lebih kepada pelaburan dan ekonomi, tapi saya hendak bertanya soalan berkaitan aspek keselamatan.

- Advertisement -

“Adakah YB dalam kunjungan itu berbincang dengan pimpinan China mengenai keselamatan di rantau kita, terutama apabila ada kehadiran tentera laut China di Laut China Selatan yang akhirnya menjemput kebimbangan negara kuasa besar seperti Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat sehingga mereka membentuk pakatan baharu yang dinamakan AUKUS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bertanyakan soalan tambahan pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin berkata, Australia bakal memiliki kapal selam berkuasa nuklear kerana kebimbangan negara AUKUS terhadap pengaruh China dan ini merisaukan Malaysia ibarat ayat Ahli Parlimen Kota Raja.

Menjawab persoalan ini, Perdana Menteri berkata, beliau tidak mahu mengelak untuk meneruskan rundingan kerana ia adalah pendirian ASEAN supaya semua tuntutan bertindih diselesaikan secara rundingan.

“Bagaimanapun, setakat ini, Malaysia bertegas bahawa ini adalah wilayah Malaysia.

“Mengenai kehadiran kapal (di Laut China Selatan), diterangkan oleh China, itu di perairan antarabangsa tetapi Kementerian Luar akan terus memantau dan jika ada pelanggaran, kita akan mengeluarkan bantahan,” katanya.

Mengenai AUKUS, Anwar berkata, rakan sejawatnya dari Australia, Anthony Albanese sudah menghubunginya dan menghantar wakil khas bagi menjelaskan mengenai perkara itu.

“Pendirian Malaysia dan ASEAN adalah tidak menyokong apa saja usaha yang boleh meningkatkan ketegangan, terutama bidang ketenteraan.

“Malaysia dan ASEAN adalah zon bebas, yang tidak mahu kuasa besar menekan kita dan sebab itu, apabila diumumkan AUKUS, Malaysia menyatakan keresahan supaya perkara ini tidak meledak sebagai sesuatu yang dianggap provokatif dan menyebabkan China meningkatkan kegiatannya di rantau ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/4/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -