
KUALA LUMPUR: Islam adalah seumpama arus air, yang tidak mungkin dapat dihalang oleh musuh Islam, maka cara musuh Islam melawan agama suci ini adalah dengan melencongkan akidah umat Islam daripada Islam yang sebenar.
Begitu mendalam sekali pengertian dan kalau diamati ia adalah isu yang amat membimbangkan di sebalik takzirah yang disampaikan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad dalam Tazkirah Zohor Ramadhan yang berjudul, Ramadan Bulan Perjuangan.
Beliau menekankan kepada isu Ramadan sebagai bulan perjuangan umat Islam serta menjadikannya sebagai tempoh masa bagi membina perjuangan, bukan sahaja dalam membetulkan diri sendiri tetapi juga perjuangan mengikut syariat-Nya; dalam pada digempur musuh Islam pada ketika ini.
Tazkirah anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) yang disampaikan beliau pada hari ini, Khamis (3 April) telah disiarkan secara langsung dari pejabat Harakah di Jalan Pahang, Off Jalan Pahang Barat, di sini dan boleh diikuti melalui Facebook TV PAS dan HarakahTV.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harakah turut menyatakan bahawa dengan menjauhkan umat Islam daripada Islam yang sebenar, maka wujudnya pelbagai fahaman Islam yang berbeza dengan syariat-Nya.
“Dengan melencongkan (akidah) ramai umat Islam daripada Islam yang sebenar, wujudnya fahaman macam-macam Islam (yang lari daripada syariat Islam yang sebenar) seperti Islam Liberal, Islam Demokrat, tidak terkecuali wujudnya Islam Protestan.
“Malah, ‘Islam Sederhana’ (Moderate Islam) juga diwujudkan sebagai Islam yang tidak berpaksikan kepada syariat Islam yang sebenar.
“Maknanya, Islam sebegini membenarkan seseorang wanita bebas untuk sama ada memakai atau tidak bertudung, kebebasan untuk berpuasa dan tidak berpuasa, malah membenarkan orang Islam memegang anjing. Inilah Moderate Islam,” jelas beliau.
Beliau menyatakan, inilah Islam yang ingin dibangunkan oleh musuh Islam yang kononnya berwajahkan Islam tetapi Islam yang bersifat ‘moderate’.
“Sampai ke satu peringkat, mereka (musuh Islam) bukan sekadar mewujudkan Moderate Islam, malah turut membangunkan pasca Islamik (Post Islamisme), iaitu membenarkan orang-orang Islam berpolitik dengan wajah Islam tetapi dengan syarat meninggalkan syariat Islam.
“Mengapa umat Islam hari ini kuat adalah kerana berpaksikan kepada syariat Islam seperti berpuasa, zakat, haji dan menunaikan segala perintrah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.
“Jika tiada undang-undang syariat-Nya, sudah tentu semakin ramai orang Islam misalnya meninggalkan puasa, melakukan zina secara berleluasa; dan ini membuktikan Islam kuat kerana adanya undang-undang syariat-Nya!” tegas beliau.
Beliau menambah bahawa musuh-musuh Islam berusaha menjauhkan ramai umat Islam daripada syariat-syariat Islam itu sendiri supaya jauh daripada Islam yang sebenar supaya tidak ada mana-mana negara dan parti politik yang memperjuangkan Islam yang sebenar dan ini merupakan kesan Post Islamisme.
Sehubungan itu, beliau turut berpesan supaya mengambil segala peluang yang ada dalam bulan Ramadan yang penuh keistimewaan ini dalam membina kebaikan.
“Ramadan tidak mengajar umat Islam menjadi lemah. Semoga Ramdhan kali ini kita dapat mengejar keredaan Allah SWT dan meninggalkan segala keburukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/4/2023