KWSP: Kerajaan tidak prihatin kesusahan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PERIKATAN NASIONAL (PN) menyifatkan keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, menolak usul berhubung usul pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan kerajaan tidak prihatin dengan keperitan rakyat yang terhimpit dengan tekanan ekonomi.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ini menyebabkan PN merancang mengadakan siri jelajah di seluruh negara bagi mengecam langkah Dewan Rakyat yang menolak usul itu.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, PN meminta penjelasan untuk mengetahui pihak yang menasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau pun beliau tidak dinasihatkan serta salah nasihat.

“Ini perkara yang bukan main-main. Atas dasar itu, kita akan buat jelajah di seluruh negara, inilah dasar Kerajaan Madani yang ada sekarang.

“Sekarang kami keluar mengatakan protes kepada jawapan. Bagi kami, Speaker tidak seharusnya menolak usul yang memenuhi ketiga-tiga ciri ini. Mengapa dia tolak, bagi penjelasan dan peluang kepada Menteri Kewangan untuk beri penjelasan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Semua Ahli Parlimen PN bertindak keluar dari Dewan Rakyat sebagai membantah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng yang tidak membenarkan usul pengeluaran bersasar KWSP dibahaskan.

Sebelum itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamil (PN-Machang) membacakan peraturan mesyuarat yang memaklumkan bahawa usulnya membahaskan isu KWSP ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.

Sementara itu, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) berkata Kiong Yieng sengaja menggunakan Peraturan Mesyuarat 43 untuk mengelakkan usul KWSP dibahaskan.

“Kita faham Seksyen 43, keputusan Speaker adalah muktamad tapi Dewan (Rakyat) tidak boleh menggunakan peraturan mesyuarat untuk mengelak daripada menjawab, ini salah guna peraturan mesyuarat dan perlu dijelaskan oleh kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/4/2023

- Advertisement -