Kebebasan mahasiswa menguruskan kewangan

Respon terhadap YB Menteri KPT

- Advertisement -

GAMIS menyambut baik usaha KPT terhadap Pindaan AUKU yang memberi kebebasan mahasiswa urus akaun, kewangan persatuan.

Berkaitan dengan pengumuman Menteri KPT berkait memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk menguruskan kewangan persatuan ataupun aktiviti pelajar merupakan satu usaha yang baik dan seiring dengan tuntutan-tuntutan gerakan mahasiswa dari zaman ke zaman. 

Hal ini akan melatih mahasiswa bukan sahaja untuk belajar menguruskan akaun persatuan secara lebih mandiri, namun dapat juga mempercepatkan proses keluar masuk duit yang sebelum ini mesti menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan kewangan daripada Bendahari kampus, walhal duit tersebut hasil tajaan yang dicari oleh mahasiswa sendiri.

Walau bagaimanapun, GAMIS menyoal sebuah kenyataan YBM dan kurang bersetuju dengan kenyataan beliau yang dilihat seolah-olah melepaskan tangan dalam menjaga hal-hal kebajikan mahasiswa.

GAMIS mempersoalkan akan satu ucapan kenyataan YB Menteri iaitu ‘Sebab itu maksudnya apabila diberi kebebasan, masih nak lari ke kementerian ataupun kerajaan untuk mendapatkan duit’. 

GAMIS kurang bersetuju dengan kenyataan YB Menteri bahawa dengan adanya kebebasan ini, kebergantungan mahasiswa kepada universiti, kementerian atau kerajaan, wajar dan sepatutnya dikurangkan. 

Dengan adanya kebebasan ini, mahasiswa juga perlu diberikan pendidikan yang sewajarnya supaya kebebasan baharu ini tidak menimbulkan isu salah guna duit atau mismanagement

Dalam fasa awal ini, kementerian terutamanya KPT dan pentadbiran universiti perlulah mengadakan bengkel-bengkel pengurusan kewangan persatuan bagi memastikan para mahasiswa mempunyai skillset yang diperlukan sambil kerajaan menuju kepada pindaan autonomi kewangan tersebut. 

GAMIS juga mencadangkan agar belanjawan khusus kepada mahasiswa dapat dimasukkan dalam belanjawan negara bagi memberikan inisiatif-inisiatif kepada mahasiswa di seluruh negara.

“Mengungguli Gerakan Mahasiswa”

GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS) – HARAKAHDAILY 3/4/2023

- Advertisement -