PERHIMPUNAN haram atau demonstrasi melibatkan penyertaan pegawai awam adalah tidak dibenarkan. Ianya telah sedia termaktub dalam peraturan penjawat awam sama ada peringkat Persekutuan atau negeri. Sebagai sebuah negara berdaulat demonstrasi bukanlah satu-satunya jalan yang ada kerana pilihan raya secara demokrasi adalah pilihan yang lebih harmoni.
Pimpinan kerajaan yang ada dalam Kabinet Persekutuan hari ini kebetulannya adalah petualang kepada perhimpunan haram semasa berada di luar kerajaan kecuali Menteri Kesihatan hari ini. Hilang dari radar sewaktu itu.
Siapa akan melupakan siri-siri demonstrasi reformasi mengangkat perjuangan peribadi Perdana Menteri ke-10 (PMX) hari ini?
Kenapa reformasi disebut peribadi? Ianya kerana naiknya mereka dengan laungan reformasi sebagai kabinet kerajaan, hilang perjuangan yang selama ini disungguhkan. Malah mulai menekan rakyat yang mahukan keadilan dan kebenaran.
Walau apa pun larangan dan sekatan yang dibuat terhadap rakyat termasuk suara pegawai perubatan yang mahukan keadilan dan pembelaan kontrak perkhidmatan diberikan perhatian sewajarnya, menggunakan kuasa sekatan bukanlah satu-satunya jalan yang ada. Seperkara yang perlu diingat adalah aliran kebenaran ibaratnya seperti air hujan yang turun ke bawah dan tidak sesekali menyongsang ke atas. Lambat laun akan sampai ke tanah jua.
Sekatan guna kuasa tanpa apa-apa rundingan wajar hanyalah suatu pembunuhan senyap. Solidariti buat pegawai perubatan kontrak yang mahukan hak mereka didengari.
Beramal kerana Allah.
MOHD FIRDAUS NAWI
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 3/4/2023
Di sebalik larangan perhimpunan haram pegawai kesihatan
- Advertisement -