Peristiwa Badar Al-Kubra: Dua pihak bermunajat

- Advertisement -

BERLAKUNYA peristiwa besar dalam sejarah Islam, apabila dua kumpulan berperang dengan sengit pada bulan Ramadan. Kumpulan Musyrikin Makkah yang dipimpin oleh pemimpin terkemukanya, Abu Jahal datang menyerang bersama bala tentera yang besar dan lengkap bersenjata perang dengan semangat berkobar-kobar untuk menentang Islam. Adapun kumpulan Islam pula dipimpin oleh Rasulullah SAW yang kecil jumlahnya dan tidak lengkap senjata untuk berperang kerana tujuan perjalanan asalnya bukanlah untuk berperang.

- Advertisement -

Peristiwa tersebut berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah bersamaan 13 Mac 624 Masihi, sebagaimana yang dirakamkan oleh firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدۡ نَصَرَكُمُ ٱللَّهُ بِبَدۡرٖ وَأَنتُمۡ أَذِلَّةٞۖ فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ١٢٣﴾

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam Peperangan Badar, padahal ketika itu kamu  dalam keadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).” (Surah Ali ‘Imran: 123)

Peperangan Badar merupakan perang yang tidak dirancang oleh pihak Islam dengan pertembungan yang berlaku di luar dugaan sebenar, kerana tujuan asalnya hanyalah untuk memintas rombongan dagang Musyrikin semata-mata bagi menyekat ekonomi perdagangan mereka. Hal ini demikian kerana, mereka telah berlaku zalim terhadap penganut Islam di Makkah, sama ada terhadap diri penganut Islam itu sendiri, keluarga mahupun harta mereka.

Mereka dianggap telah melakukan kesalahan kerana menganut Islam dengan rela hati, lalu menyebabkan mereka dizalimi dengan ganas. Tindakan tersebut dilakukan dengan izin Allah SWT, sepertimana yang telah disebutkan oleh firman-Nya:

﴿أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمۡ ظُلِمُواْۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصۡرِهِمۡ لَقَدِيرٌ٣٩ ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠﴾

“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang (Islam) yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi. Dan sesungguhnya, Allah itu benar-benar Maha Kuasa menolong mereka (mencapai kemenangan). (39)  (Mereka itu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata: ‘Rabbuna Allah (Tuhan kami hanyalah Allah).’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebutkan nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40)”  (Surah al-Hajj: 39-40)

Islam membawa konsep tiada paksaan dalam menganut agama dan bertasamuh (bertoleransi) dalam konteks masyarakat majmuk. Akan tetapi, paksaan dilakukan terhadap penganut Islam yang berterus terang menegaskan Islamnya iaitu golongan yang menganut agama yang mengesakan Allah yang Maha Esa dan menolak kepercayaan adanya tuhan-tuhan yang lain selain daripada Allah SWT. Bahkan, sedia berdialog dengan semua pihak dengan hujah tanpa bersikap memaksa.

Umat Islam bukan sahaja dituduh salah dan sesat, malah dituduh melawan ajaran nenek moyang dan menggunakan kekerasan tanpa hujah. Namun begitu, Allah SWT telah memerintahkan umat Islam supaya tidak menyerah kalah dalam menentang kezaliman terhadap mereka dengan syarat tidak bertindak melampau. Firman Allah SWT:

﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ١٩٠﴾

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 190)

Pertembungan yang berlaku di Badar itu telah ditakdirkan oleh Allah SWT, bukan ditadbir oleh Rasulullah SAW. Adapun penganut Islam pula tidak dipaksa dengan peperangan. Firman Allah SWT:

﴿وَإِذۡ يَعِدُكُمُ ٱللَّهُ إِحۡدَى ٱلطَّآئِفَتَيۡنِ أَنَّهَا لَكُمۡ وَتَوَدُّونَ أَنَّ غَيۡرَ ذَاتِ ٱلشَّوۡكَةِ تَكُونُ لَكُمۡ وَيُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُحِقَّ ٱلۡحَقَّ بِكَلِمَٰتِهِۦ وَيَقۡطَعَ دَابِرَ ٱلۡكَٰفِرِينَ٧ لِيُحِقَّ ٱلۡحَقَّ وَيُبۡطِلَ ٱلۡبَٰطِلَ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُجۡرِمُونَ٨﴾

“Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu daripada dua angkatan adalah untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu menginginkan (angkatan perniagaan) yang tidak mempunyai kekuatan (persenjataan) itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (agama Islam) dengan ayat-ayat-Nya, dan memusnahkan orang-orang yang kafir seluruhnya. (7) Agar Allah menegakkan yang hak (Islam) dan menghapuskan yang batil (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir Musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya. (8)” (Surah al-Anfal: 7-8) 

Sebelum menyerang umat Islam, Abu Jahal juga bermunajat kepada Allah SWT. Katanya:

اللَّهُمَّ ‌أَقْطَعَنَا ‌لِلرّحِمِ، وَآتَانَا بِمَا لَا يُعْرَفُ، فَأَحِنْهُ الغَدَاةَ.

“Wahai Allah, ya Tuhanku! Binasakanlah orang yang memutuskan silaturahim (hubungan kekeluargaan) dan membawa kepada kami dengan ajaran yang tidak kami kenali (sesat). Binasakanlah dia pada pagi ini. (Ibn al-Qayyim, Zad al-Ma‘ad, jld. 3, ms. 165)

Rasulullah SAW juga bermunajat kepada Allah SWT:

‌اللَّهُمَّ ‌إِنَّكَ ‌إِنْ ‌تُهْلِكْ ‌هَذِهِ ‌الْعِصَابَةَ مِنْ أَهْلِ الْإِسْلامِ، فَلا تُعْبَدْ فِي الْأَرْضِ أَبَدًا.

“Wahai Allah, ya Tuhanku! Jika Engkau membinasakan pasukan yang kecil ini, Engkau tidak akan disembah lagi di bumi selepas ini.” (Riwayat Ahmad, no. 208)

Abu Jahal yang zalim dan pembohong besar telah membuat pelbagai tuduhan terhadap Rasulullah SAW yang dikenali sifatnya yang benar dan akhlaknya yang mulia sebelum menjadi Rasul lagi. Malah, Baginda SAW dilantik oleh Allah menjadi Rasul yang telah disebutkan dalam kitab suci semua agama. Tiba-tiba, Baginda SAW dituduh membawa ajaran sesat dan dipohon supaya Allah membinasakannya.

Kemudian, Allah SWT mewahyukan firman-Nya:

﴿ذَٰلِكُمۡ وَأَنَّ ٱللَّهَ مُوهِنُ كَيۡدِ ٱلۡكَٰفِرِينَ١٨ إِن تَسۡتَفۡتِحُواْ فَقَدۡ جَآءَكُمُ ٱلۡفَتۡحُۖ وَإِن تَنتَهُواْ فَهُوَ خَيۡرٞ لَّكُمۡۖ وَإِن تَعُودُواْ نَعُدۡ وَلَن تُغۡنِيَ عَنكُمۡ فِئَتُكُمۡ شَيۡ‍ٔٗا وَلَوۡ كَثُرَتۡ وَأَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ١٩﴾

“Itulah (kurniaan-Nya yang dilimpahkan kepadamu), dan sesungguhnya Allah sentiasa melemahkan tipu daya orang-orang yang kafir. (18) Jika kamu (wahai orang-orang Musyrik) memohon supaya diberikan kemenangan (bagi pihak yang benar), maka sesungguhnya telah datang kemenangan (yang kamu pohonkan) itu; dan jika kamu berhenti (daripada memusuhi Nabi Muhammad SAW), maka itulah yang lebih baik bagi kamu; dan jika kamu kembali (memusuhinya), Kami juga kembali (menolongnya mengalahkan kamu); dan golongan (angkatan perang) kamu tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan daripada sesuatu bahaya apa pun, sekalipun dia lebih ramai; dan (yang demikian itu adalah kerana) sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang beriman. (19)”  (Surah al-Anfal: 18-19)

Pertembungan ini berakhir apabila kedua-dua munajat diperkenankan oleh Allah SWT dengan membinasakan golongan sebenar yang menyeleweng kerana telah memutuskan hubungan kekeluargaan dan membawa ajaran sesat. Seterusnya, memenangkan golongan yang benar menegakkan petunjuk Allah iaitu Rasul yang dilantik oleh Allah untuk menyelamatkan keluarga dan bangsa bersama Islam.

Walaupun kecil jumlah tenteranya dan tidak lengkap persenjataannya, namun dengan pertolongan Allah SWT serta kebijaksanaan taktik perang yang digunakan, maka mereka mendapat kemenangan.

Keikhlasan kepada Allah SWT dibuktikan dengan berjuang menegakkan Islam yang sebenar di bawah kepimpinan Rasulullah SAW bagi menyelamatkan keluarga, bangsa dan umat bersama Islam. Hal ini menunjukkan bahawa perjuangan bangsa dan keluarga tanpa Islam adalah sesat dan membawa kecelakaan.  

Allah SWT memuji Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda yang ikhlas menegakkan Islam, walaupun mereka ditentang oleh keluarga dan bangsa mereka sendiri yang telah sesat. Firman Allah SWT:

لَّا تَجِدُ قَوۡمٗا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ يُوَآدُّونَ مَنۡ حَآدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَوۡ كَانُوٓاْ ءَابَآءَهُمۡ أَوۡ أَبۡنَآءَهُمۡ أَوۡ إِخۡوَٰنَهُمۡ أَوۡ عَشِيرَتَهُمۡۚ أُوْلَٰٓئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ ٱلۡإِيمَٰنَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٖ مِّنۡهُۖ وَيُدۡخِلُهُمۡ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ رَضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُۚ أُوْلَٰٓئِكَ حِزۡبُ ٱللَّهِۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ٢٢

“Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang itu bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang yang menanamkan iman dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya dan mereka dimasukkan oleh-Nya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan mereka kekal di dalamnya. Allah reda terhadap mereka dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka itulah Hizbullah (golongan Allah). Ketahuilah, sesungguhnya itulah golongan yang mendapat kemenangan (dunia dan akhirat).” (Surah al-Mujadalah: 22)

Rasulullah SAW mengarahkan pasukan tentera Islam bertindak terhadap golongan penentang Islam yang sangat zalim, setelah mendapat kejayaan selepas beberapa tahun cuba membebaskan Makkah daripada cengkaman jahiliah walaupun mereka bergantung di tabir Kaabah. Namun begitu, ramai dalam kalangan mereka itu yang diberikan pengampunan apabila mereka bertaubat.

Kini, menjadi dilema kepada umat untuk menentukan pendirian, apabila adanya perbezaan yang mencetuskan perlawanan antara satu sama lain.

Keadaan ini berlaku apabila dua kumpulan atau banyak kumpulan yang disertai oleh kalangan yang baik pada zahirnya, akhirnya tenggelam dalam kejahilan sehingga bersekongkol dengan musuh Islam atau memperjuangkan kefahaman atau aliran yang salah. Masing-masing mengaku benar dan bersembahyang hajat, serta bermunajat kepada Allah SWT dan berselawat bagi mencapai kejayaan, tetapi ia dilakukan tanpa perhitungan yang betul dan istiqamah.

Allah SWT juga telah memilih pada bulan Ramadan berlakunya Nuzul al-Quran (penurunan kitab suci al-Quran) yang mengandungi petunjuk dengan kenyataan dan penjelasannya. Firman Allah SWT:

﴿شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ …١٨٥﴾

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dengan yang batil)…” (Surah al-Baqarah: 185)

Firman Allah SWT:

﴿…فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Oleh yang demikian, itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah al-Nisa’: 59)

Sesungguhnya, al-Quran dan ilmunya tetap dipelihara oleh Allah SWT, tidak sama sepertimana kitab suci yang lain. Walaupun al-Quran dibakar hangus menjadi abu oleh musuhnya, namun cahayanya tetap tidak boleh dipadamkan.

Bukan sahaja tulisannya sahaja yang terpelihara, malah bersamanya hafazan dalam hati orang-orang yang beriman. Ilmu yang berkaitannya juga dipelihara oleh Allah SWT di seluruh pelosok dunia dengan disaksikan kebenarannya secara ilmiah, akal dan hidayah.

Penganut Islam diwajibkan berdoa pada setiap rakaat, sama ada dalam solat wajib mahupun solat sunat:

﴿إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ٧﴾

“Engkaulah sahaja (ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami meminta pertolongan. (5) Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6) (Iaitu) jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan ni‘mat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (7)” (Surah al-Fatihah: 5-7)

Dalam doa ini, dipohon pertolongan Allah SWT supaya dikurniakan hidayah bersama mereka yang dipilih daripada kalangan para nabi, mereka yang setia kepada nabi-nabi, para syuhada’ yang berjuang dan orang-orang yang soleh. Seterusnya, dipohon agar dijauhkan daripada menjadi seperti mereka yang dimurkai-Nya, seperti kalangan berilmu tetapi tidak beriman dan menentang Islam, serta kalangan sesat yang jahil tanpa ilmu.

Kumpulan ini tetap wujud sepanjang zaman. Rasulullah SAW telah menerangkan dengan nyata melalui firman Allah SWT:

﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣﴾

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan) inilah jalan-Ku yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Demikianlah, diperintahkan oleh Allah agar kamu bertaqwa.” (Surah al-An‘am: 153)

Dalam sebuah hadis, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah melakarkan garisan yang lurus di atas tanah lalu dilakarkan cabang-cabang yang banyak, sebagaimana yang diriwayatkan:

خَطَّ ‌لَنَا ‌رَسُولُ ‌اللهِ ‌صَلَّى ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌خَطًّا، ‌فَقَالَ: ‌هَذَا ‌سَبِيلُ ‌اللهِ، ثُمَّ خَطَّ خُطُوطًا عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ، فَقَالَ: هَذِهِ سُبُلٌ، عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ ثُمَّ تَلَا: {وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا} الْآيَةَ.

“Bahawa Rasulullah SAW telah melukiskan untuk kami satu garisan lurus, lalu Baginda bersabda: ‘Inilah jalan (menuju) Allah.’ Kemudian, Baginda SAW melukis beberapa garisan pada bahagian kanan dan kiri garis yang lurus itu, kemudian Baginda SAW bersabda: ‘Ini adalah beberapa jalan yang lain (cabang). Pada setiap jalan tersebut, terdapat syaitan yang mengajak manusia kepada jalan tersebut.’ Kemudian, Baginda SAW membacakan ayat: ‘Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus – hingga akhir ayat.’” (Riwayat Abu Daud, no. 241)

Firman Allah SWT:

﴿وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوّٗا شَيَٰطِينَ ٱلۡإِنسِ وَٱلۡجِنِّ يُوحِي بَعۡضُهُمۡ إِلَىٰ بَعۡضٖ زُخۡرُفَ ٱلۡقَوۡلِ غُرُورٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُۖ فَذَرۡهُمۡ وَمَا يَفۡتَرُونَ١١٢﴾

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (daripada jenis) manusia dan (daripada jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia). Jikalau Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.” (Surah al-An‘am: 112)

Seruan yang menyesatkan pada hari ini terus berlangsung sepanjang zaman bersama dengan watak Abu Jahal yang bermunajat dan ditambah pula dengan dilaksanakan solat hajat dengan tujuan sekadar untuk menggoda.

Allah SWT memerintahkan supaya penganut Islam bangkit dengan berani untuk menegaskan Islam dan melaksanakan kewajipan berdakwah, amar ma‘ruf dan nahi munkar. Bahkan, al-Quran menyebutkan satu contoh pemuda yang gagah berani pada zaman dahulu dalam mempertahankan akidah Islamnya. Firman Allah SWT:

﴿نَّحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ نَبَأَهُم بِٱلۡحَقِّۚ إِنَّهُمۡ فِتۡيَةٌ ءَامَنُواْ بِرَبِّهِمۡ وَزِدۡنَٰهُمۡ هُدٗى١٣ وَرَبَطۡنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ إِذۡ قَامُواْ فَقَالُواْ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ لَن نَّدۡعُوَاْ مِن دُونِهِۦٓ إِلَٰهٗاۖ لَّقَدۡ قُلۡنَآ إِذٗا شَطَطًا١٤﴾

“Kami kisahkan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar. Sesungguhnya, mereka ialah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi pula untuk mereka petunjuk. (13) Dan Kami meneguhkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian) semasa mereka bangun (menegaskan tauhid), lalu mereka pun berkata, ‘Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan dan mentadbir seluruh langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada-Nya, jika kami menyembah selainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh daripada kebenaran.’ (14)”  (Surah al-Kahf: 13-14)

Cahaya Islam daripada al-Quran dan Sunnah dijadikan penyuluh sepanjang jalan. Bawakan cahaya ini dengan terang, nyata dan bijak. Sungguh, amatlah tidak bijaksana mereka yang bersembunyi selama-lamanya dan bersekongkol dengan musuh Islam. Allah SWT berfirman:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّىٰهُمُ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ ظَالِمِيٓ أَنفُسِهِمۡ قَالُواْ فِيمَ كُنتُمۡۖ قَالُواْ كُنَّا مُسۡتَضۡعَفِينَ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ قَالُوٓاْ أَلَمۡ تَكُنۡ أَرۡضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةٗ فَتُهَاجِرُواْ فِيهَاۚ فَأُوْلَٰٓئِكَ مَأۡوَىٰهُمۡ جَهَنَّمُۖ وَسَآءَتۡ مَصِيرًا٩٧ إِلَّا ٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ لَا يَسۡتَطِيعُونَ حِيلَةٗ وَلَا يَهۡتَدُونَ سَبِيلٗا٩٨﴾

“Sesungguhnya, orang-orang yang diwafatkan oleh malaikat semasa mereka sedang menganiayai diri sendiri, mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata, ‘Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?’ Mereka menjawab, ‘Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi (Makkah).’ Malaikat bertanya lagi, ‘Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?’ Maka, orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka Jahanam, dan Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (97) kecuali orang-orang yang lemah lagi uzur dari kaum lelaki dan wanita serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). (98)”  (Surah al-Nisa’: 97-98)

Sebab nuzul ayat ini ditujukan kepada mereka yang bersekongkol dengan musuh Islam dengan alasan yang salah, dan terdapat mereka yang diizinkan melakukan hal sedemikian dengan sebab-sebab yang diizinkan oleh Allah SWT.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 10 Ramadan 1444 / 1 April 2023 – HARAKAHDAILY 1/4/2023

- Advertisement -