Perdagangan India-Malaysia kini boleh guna Rupee

Penyelesaian perdagangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyelesaian perdagangan antara India dan Malaysia kini boleh menggunakan Rupee India (INR) sebagai tambahan kepada kaedah penyelesaian semasa dalam mata wang lain, menurut Pejabat Suruhanjaya Tinggi India ke Malaysia.

- Advertisement -

Keputusan itu dibuat oleh Reserve Bank of India (Bank Pusat India) pada Julai 2022 yang membolehkan penyelesaian perdagangan Antarabangsa dalam INR.

“Inisiatif oleh Reserve Bank of India ini bertujuan untuk memudahkan pertumbuhan perdagangan global selain menyokong kepentingan komuniti perdagangan global dalam Rupee India (INR).

“Mekanisme baharu ini juga sejajar dengan dasar pertukaran asing (FEP) Malaysia yang membolehkan bank Malaysia melaksanakan penyelesaian perdagangan antarabangsa dalam barangan atau perkhidmatan dalam mana-mana mata wang asing, tertakluk kepada peraturan dan kawal selia Bank Negara Malaysia,” kata Suruhanjaya Tinggi itu dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu India International Bank of Malaysia (IIBM) adalah bank pertama di Malaysia yang telah mengoperasikan mekanisme ini dengan membuka Akaun Vostro Rupee Khas melalui bank sepadannya di India – Union Bank of India.

Mekanisme itu akan membolehkan peniaga India dan Malaysia membuat invois perdagangan dalam INR dan menambah bahawa potensi manfaat daripada mekanisme ini termasuk penetapan harga lebih baik untuk barangan dan perkhidmatan yang didagangkan dan keupayaan untuk berdagang secara langsung dalam INR, sekali gus menjimatkan tebaran penukaran mata wang.

Dagangan dua hala India-Malaysia yang telah mencecah US$19.4 bilion pada tahun kewangan 2021-22, dijangka memperoleh manfaat daripada pilihan baharu ini untuk menyelesaikan perdagangan dua hala dalam INR.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian perdagangan dalam INR, sila semak Soalan Lazim di laman sesawang IIBM (www.indiainternationalbank.com.my) atau hubungi IIBM ([email protected]) atau layari pejabat IIBM (Tingkat Bawah, Bangunan Yee Seng, 15, Jalan Raja Chulan, Bukit Bintang 50200 Kuala Lumpur). – BERNAMA

- Advertisement -