PPR sebagai transit sebelum rumah kekal

- Advertisement -

SEJAK 1982, sebanyak 159 projek Projek Perumahan Rakyat (PPR) merangkumi 99,296 unit rumah, telah siap dibina di seluruh negara. Sebanyak 27 PPR melibatkan 12,037 unit kediaman kini sama ada dalam pembinaan atau dalam perancangan untuk dibina. Perkara ini diberitahu oleh Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja, di Dewan Negara pada 28 Mac lepas.

- Advertisement -

Di Selangor terdapat PPR di Lembah Subang, Kota Damansara dan Kg Baru Hicom, Shah Alam. Kediaman-kediaman ini disewa kepada mereka yang layak berdasarkan pendapatan. Ia memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk menyewa kerana sewa yang perlu dibayar adalah jauh lebih rendah dari sewaan di pasaran terbuka. Kadang-kala kurang dari satu pertiga dari kadar sewaan di luar.

Usaha membina PPR untuk disewa perlu diteruskan malah dilipatganda. Di dalam keadaan ekonomi yang mencabar di mana ramai yang melihat pendapatan mereka terjejas, PPR merupakan harapan bagi rakyat untuk mendapatkan tempat tinggal yang sempurna. Walau bagaimanapun, PPR bukan matlamat tetapi ia adalah hanya sebahagian dari proses ke arah pemilikan kediaman sendiri.

PPR perlu dilihat hanya sebagai rumah transit. Ketika kerajaan negeri Selangor di bawah Barisan Nasional melaksanakan polisi pembersihan setinggan, terdapat peneroka bandar yang telah dipindahkan ke PPR sehingga rumah kos rendah mereka siap dibina. Apabila penempatan-penempatan mereka dirobohkan untuk pembangunan baharu, mereka dipindahkan beramai-ramai ke PPR seperti PPR Lembah Subang sehingga rumah kos rendah yang dibeli mereka siap sepenuhnya. Pemaju-pemaju yang membangunkan penempatan asal mereka telah membayarkan sewa sepanjang tempoh peneroka bandar itu berada di PPR.

PPR juga boleh dikhususkan untuk golongan muda yang baru memasuki alam pekerjaan dan tidak mampu menyewa kediaman dengan kadar sewa yang tinggi. Mereka akan tinggal di PPR sehingga kedudukan ekonomi mereka membolehkan mereka memiliki rumah sendiri. Selain dari itu, ramai yang berhijrah ke bandar-bandar besar terutamanya di Lembah Kelang untuk bekerja dan sudah tentu mereka juga memerlukan tempat tinggal. PPR merupakan salah satu penyelesaian kepada masalah penempatan mereka.

Walaupun statusnya sebagai rumah transit atau rumah sementara namun ini tidak bermakna kualiti kediaman dan kualiti persekitaran di PPR itu adalah kelas kedua. Sementara mungkin bermakna satu tahun, tiga tahun atau mungkin lima tahun dan penduduk berhak menikmati kualiti kehidupan yang setaraf dengan mereka di pembangunan-pembangunan lain di bandar. Sikap dan mentaliti penduduk juga perlu dibentuk supaya dapat mewujudkan komuniti yang prihatin dan yang dapat bekerjasama. Mereka perlu menganggap seolah-olah mereka akan tinggal di situ buat selama-lamanya.

Kerajaan melalui kementerian-kementerian yang berkenaan, wakil-wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memainkan peranan. Semangat kekitaan dan kebersamaan boleh diwujudkan melalui program-program komuniti yang berterusan. Semangat tersebut dapat menggalakkan penduduk agar memastikan kemudahan dan harta bersama PPR itu terjaga dengan baik. Kejadian vandalisme juga akan dapat dikawal. Rekabentuk dan bahan binaan untuk PPR juga perlu dipastikan agar tidak mudah terdedah kepada amalan vandalisme dan senang diselenggara. Kos penyelenggaraan dan baikpulih yang tinggi sering menjadi beban kepada pihak pengurusan dan penduduk.

Walau bagajmanapun perlu ada perancangan ke mana penduduk PPR ini akan pergi selepas ini. Kerajaan perlu menetapkan perancangan berapa lama penduduk boleh tinggal di PPR sebelum membeli kediaman sendiri. Mereka tidak boleh tinggal di PPR sehingga akhir hayat. Walau bagaimanapun kerajaan perlu menyediakan pelbagai program dan bantuan agar mereka boleh memiliki kediaman mereka sendiri. Kerajaan tidak boleh mengeluarkan mereka dari PPR secara paksa selagi tidak ada kediaman lain untuk mereka sama ada rumah mereka sendiri atau rumah sewa yang lain.

Kerajaan perlu ada perancangan contohnya setiap tahun berapa ramai di PPR yang akan dibantu untuk membeli rumah mereka sendiri. Perlu ada sasaran tahunan. Program-program khusus pembiayaan pembelian perumahahan oleh penghuni PPR perlu diwujudkan. Permintaan untuk PPR akan bertambah setiap tahun dan kemampuan kerajaan untuk membina PPR sudah tentu ada hadnya. Kekosongan di PPR hanya akan berlaku apabila penghuninya berpindah keluar. Justeru jika ramai berpindah keluar bermakna ramai juga penghuni baharu dapat berpindah masuk.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
31 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 31/3/2023

- Advertisement -