Parlimen Turkiye sahkan Finland sertai NATO

Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan bersama Presiden Finland, Sauli Niinisto di Ankara pada 17 Mac lalu.
- Advertisement -

ANKARA: Parlimen Turkiye meluluskan rang undang-undang membenarkan Finland menyertai NATO, membuka jalan kepada negara itu untuk menjadi sebahagian pakatan pertahanan Barat ketika perang berkecamuk di Ukraine.

Parlimen Turkiye adalah yang terakhir dalam kalangan 30 anggota perikatan yang mengesahkan keahlian Finland selepas badan perundangan Hungary meluluskan rang undang-undang yang sama, awal minggu ini.

- Advertisement -

Presiden Tayyip Erdogan berkata pada awal bulan ini bahawa Finland telah mendapat restu Turkiye selepas mengambil langkah konkrit untuk menepati janji bagi membanteras kumpulan yang dilihat oleh Ankara sebagai pengganas.

Finland dan Sweden memohon menyertai NATO tahun lepas sebagai tindak balas kepada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Namun, proses itu dihalang oleh Turkiye dan Hungary. Parlimen semua anggota NATO mesti mengesahkan keanggotaan baharu.

“Keanggotaan NATO akan mengukuhkan keselamatan Finland dan meningkatkan kestabilan serta keselamatan di rantau Laut Baltik dan Eropah Utara,” kata kerajaan Finland dalam satu kenyataan selepas undian Parlimen Turkiye.

Namun Turkiye masih menangguhkan kelulusan keanggotaan negara jiran Finland, Sweden, yang menurut Ankara belum cukup bagi membanteras pihak yang negara itu anggap sebagai pengganas. Ketiga-tiga negara menandatangani persefahaman mengenai isu itu, tahun lepas.

Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Negara Parlimen Turkiye sebulat suara meluluskan rang undang-undang Finland minggu lalu. Proses perundangan Turkiye berlangsung ketika negara itu bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya Parlimen dan Presiden pada 14 Mei depan.

Keanggotaan Finland akan mewakili perluasan pertama sejak Macedonia Utara menyertai NATO pada 2020.

Turkiye berulang kali menyatakan bahawa Sweden perlu mengambil langkah tambahan terhadap penyokong militan Kurdish dan anggota rangkaian yang Ankara dakwa bertanggungjawab terhadap cubaan rampasan kuasa 2016. Turkiye menganggap kedua-dua kumpulan itu sebagai organisasi pengganas.

Perbincangan antara Sweden dan Turkiye mencapai sedikit kemajuan, berikutan beberapa pertikaian terutama mengenai protes jalanan oleh kumpulan pro-Kurdish di Stockholm.

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengalu-alukan pengesahan Turkiye untuk Finland dan menggalakkan tindakan yang sama terhadap penyertaan Sweden.

“Kedua-dua Sweden dan Finland adalah kuat, rakan kongsi berkebolehan yang berkongsi nilai NATO dan akan mengukuhkan perikatan dan menyumbang kepada keselamatan Eropah,” kata jurucakap jabatan itu.

Perdana Menteri Finland, Sanna Marin, sejurus selepas pengundian Turkiye, berkata: “Finland berdiri bersama Sweden sekarang dan pada masa hadapan dan menyokong permohonannya”.

Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, menggesa Turkiye dan Hungary untuk mengesahkan kedua-dua permohonan itu. Undian untuk permohonan Sweden masih belum dijadualkan di Hungary. – REUTERS

- Advertisement -