Nilai semula MB tidak dibenar hadiri LIMA 2023

Nasrun Othman
- Advertisement -

ALOR SETAR: Keputusan tidak membenarkan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghadiri program LIMA 2023 di Langkawi perlu dinilai kembali.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Nasrun Othman berkata, keputusan itu bukan sahaja tidak menghormati semangat federalisme malah tidak wajar sama sekali menafikan penglibatan pemimpin di negeri sendiri.

“Saya berharap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menilai kembali keputusan itu. Adalah tidak wajar sama sekali program besar seperti itu tidak melibatkan Menteri Besar negeri yang terlibat,” tegas beliau.

Menurutnya lagi, program LIMA di Langkawi bukanlah acara baharu tetapi telah dilaksanakan beberapa kali sebelum ini.

Malah tambah Nasrun, ketika Kedah ditadbir oleh Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, tiadapun larangan terhadap beliau menghadirinya.

Sanusi sebelumnya mendakwa, beliau tidak dibenar serta dihalang daripada menghadiri mana-mana program kerajaan persekutuan termasuk LIMA di Langkawi, Mei ini.

Malah larangan itu juga melibatkan kehadirannya ke majlis berbuka puasa, Alumni Sekolah Menengah Sains Muhamad Jiwa, Sungai Petani, sedangkan beliau adalah ahli Alumni Sains Kedah (ASAK).

Sementara program berbuka puasa anak-anak Kedah di perantauan bersama Menteri Besar yang dijadualkan pada 9 April di Dewan A, MAEPS, Serdang juga ditarik balik kelulusan penggunaanya.

“Tindakan seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini tetapi hanya terjadi ketika negara ditadbir Perdana Menteri ke-10 yang melaungkan slogan Malaysia Madani.

“Sedangkan tindakan yang dilakukan jauh dari semangat federalisme yang termaktub di dalam perlembagaan,” ujar Nasrun lagi. – HARKAHDAILY 31/3/2023

- Advertisement -