Nak menjadi orang baik, perlu ada ‘4 kena’

- Advertisement -

UNTUK menjadi orang yang baik, terdapat banyak halangan dan cabaran terutamanya untuk mengubah gaya hidup dan rutin kehidupan. Maklumlah dah bertahun-tahun dengan sesuatu sikap, habit dan kebiasaan. Lagi tua, lagi lama dan lagi susah nak ubahkan. Ringkasnya, untuk menjadi orang baik, perlu ada ‘4 kena’.

1. Kena buat.

Kena buat sekarang, bukan esok atau lusa. Perkara yang baik itu tidak boleh bertangguh dan perlu bermula pada hari ini. Sikap bertangguh atau ‘nantilah’ hanya akan menyebabkan pelaksanaan sesuatu perkara baik itu akhirnya berkubur. Bukankah ‘bertangguh’ itu salah satu senjata syaitan yang membelit manusia dan memperdaya mereka kononnya masih awal lagi, masih muda lagi, masih itu dan masih ini, akhirnya semua kosong belaka. 

2. Kena paksa.

Ada orang jadi baik dengan sendirinya. Namun, kebanyakan orang yang ingin jadi baik bermula dengan paksaan. Dia perlu menggagah dirinya dan mengerahkan semua keinginannya untuk mengubah rutin kehidupannya serta mengubah sikapnya. Sebagai contoh, tidak boleh bangun pagi menunaikan solat Subuh melainkan kena paksa lawan nafsu ngantuk dan tidur. Kalau tidak paksa diri, memang tak bangunlah jawabnya. 

Perkara kebaikan biasanya tidak digemari oleh hawa nafsu kerana ia suka kepada perkara yang ia suka, walaupun susah dan walaupun jauh. Untuk melenturkan hawa nafsu ini, perlu kepada paksaan supaya selera dan keinginan itu selari dengan kehendak agama. Lihat betapa cabaran untuk mengajar anak membaca dan menulis, tetapi bermain game tidak perlu disuruh pun. Bermain lebih digemari berbanding dengan membaca dan menulis. 

3. Kena ulang.

Orang yang ingin jadi baik perlu mengulangnya banyak kali. Buat baik ini bukan sekali, tetapi kena ulang banyak kali sehingga sesuatu perkara itu menjadi habit dan kebiasaannya. Bukan senang nak memulakan suatu yang baharu sedangkan sudah terbiasa dengan sikap yang lama. Bukan senang nak datang solat Subuh di masjid sedangkan berpuluh tahun dah terbiasa solat di rumah. Untuk membuat perubahan ini, memang kena ulang banyak banyak kali.

Pengulangan sangat penting dalam proses pendidikan. Bayangkan untuk membentuk kebiasaan anak-anak menyidai kain tuala setiap kali selepas mandi, agaknya ibu bapanya kena ulang cakap (berleter) berapa ribu kali? Adakah sekali dua sahaja? Bukan sekali cakap, tetapi tak tahu berapa ribu kali cakap. 

4. Kena tahan.

Orang yang ingin menjadi baik perlu bersabar dan menahan emosinya dari sebarang ujian dan cubaan yang mungkin datang dari dirinya, keluarganya dan rakan-rakannya. Mana-mana kejayaan pun, mesti kena sabar dan kena tahan. Sabar dalam melakukan kebaikan dan sabar dalam meninggalkan perkara buruk. 

Seseorang itu kena tahan dengan diri sendiri seperti tahan diri dari makan pada bulan puasa, tahan diri dari ngantuk dalam solat, tahan diri dari tidur pada waktu kerja, tahan diri dari ambil duit haram. Begitu juga kena tahan diri dari kawan-kawan yang mungkin mengajak menangguhkan solat, melakukan rasuah, termasuklah tahan dari cemuhan dan sindiran. Termasuklah tahan diri dari ahli keluarga yang mungkin belum bersedia untuk berubah dan dalam mendidik anak-anak. 

Melakukan sesuatu yang baik ini banyak cabarannya dan setiap orang akan berhadapan dengan cabaran yang berbeza. Bertabahlah kerana sesungguhnya Allah memberikan ganjaran pahala yang tidak terkira banyaknya kepada mereka yang bersabar. Semoga Allah berikan kekuatan pada kita.

DR. MUHAMAD FAISAL – HARAKAHDAILY 31/3/2023

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid029TUhNB9v9jd39n2ANqc5pTz53bDq51Qmuz4g27T7bcQv8V5JPrtknWVbgePhGF9rl&id=100063686171569&sfnsn=mo&mibextid=RUbZ1f 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -