Man United catat keuntungan bersih AS$7.7 juta

Manchester United melaporkan keuntungan bersih sebanyak 6.3 juta Pound (AS$7.77 juta) dalam keputusan fiskal suku kedua, semalam.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu yang tertakluk kepada bidaan pengambilalihan, mengeluarkan angka kewangan utamanya untuk tiga bulan yang berakhir pada 31 Disember 2022.

Advertisement

Jumlah pendapatan United ialah 167.3 juta Pound, turun 9.8 peratus.

Walaupun pendapatan komersial kelab sebanyak 78.7 juta Pound, meningkat sebanyak 22.2 peratus, penurunan dilaporkan dalam hasil penyiaran dan hari perlawanan.

Hasil penyiaran ialah 58.7 juta Pound, iaitu penurunan sebanyak 32.1 peratus. Pendapatan hari perlawanan pula berjumlah 29.9 juta Pound, turun sebanyak 13.6 peratus.

United menyatakan bahawa pendapatan penyiaran merosot “terutamanya disebabkan pasukan utama lelaki hanya mengambil bahagian dalam Liga Europa UEFA, berbanding Liga Juara-Juara UEFA pada tahun sebelumnya.”

Perolehan hari perlawanan menurun disebabkan kurang bermain dua perlawanan di tempat sendiri, berbanding tempoh sebelumnya.

Pinjaman bukan semasa United sebanyak AS$650 juta kekal tidak berubah, tetapi perbezaan dalam kadar pertukaran matawang British-Amerika Syarikat mempunyai kesan ke atas hutang itu apabila ditukar kepada Pound Sterling.

Kadar pertukaran naik daripada 1.3486 pada 31 Dis 2021 kepada 1.2040 pada 31 Dis 2022, bermakna hutang United dalam Pound Sterling meningkat daripada 477.1 juta pound kepada 535.7 juta Pound.

Pemilik United, keluarga Glazer, mengumumkan pada November lalu, sedang meneroka “alternatif strategik,” termasuk potensi penjualan juara Inggeris 20 kali itu.

Berdasarkan bidaan yang diisytiharkan secara terbuka, pendahulu ialah Sheikh Jassim bin Hamad Al Thani dari keluarga diraja Qatar dan tokoh perniagaan anak tempatan, Jim Ratcliffe. – AP