WALAUPUN semua acara yang melibatkan Menteri Besar terpaksa dipinda untuk digantikan dengan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, saya akan pastikan semua agensi Kerajaan Negeri memberikan 100 peratus komitmen Negeri Kedah bagi memastikan semua acara di LIMA ’23 pada 23-27 Mei akan datang berjalan lancar dan sempurna.
Misalnya Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah diarahkan untuk memastikan bekalan air bersih ke Langkawi dalam tempoh itu tidak terganggu walaupun akan menghadapi peningkatan penggunaan mendadak.
Semua infrastruktur bekalan air terutama Loji Rawatan Air di Sungai Baru, jajaran paip dasar laut ke Langkawi dan Empangan Saga dan Bukit Malut di Langkawi diselenggara sebaiknya untuk pastikan bekalan dapat dibekalkan dengan sempurna.
Demikian juga agensi-agensi kerajaan negeri yang lain khususnya di Langkawi telah bersedia sepenuhnya sebagai tuan rumah LIMA ’23.
Kepada semua syarikat, agensi, pegawai kementerian, delegasi dari dalam dan luar negara yang terlibat serta para pengunjung. Selamat datang ke Pulau Langkawi Permata Kedah.
Kami akan pastikan kunjungan semua pihak ke Langkawi adalah kunjungan terindah sepanjang hayat.
Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يُؤْذِ جَارَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka jangan sakiti jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya. Juga sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau hendaklah dia diam.”
(Riwayat Al-Bukhari (6136))
YAB DATO’ SERI MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 31/3/2023