Isu laporan salah NST terhadap PAS Selangor selesai

- Advertisement -

PADA 28 Mac 2023 PAS Selangor telah mengeluarkan kenyataan menuntut permohonan maaf dari New Straits Times (NST) terhadap laporannya bertarikh 27 Mac 2023 bawah tajuk ‘PAS goes against Selangor Sultan saying Muslims cant visit churches temples‘ yang didapati memfitnah PAS dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahamd Yunus Hairi.

Tajuk ini berbeza sama sekali dengan kenyataan media PAS Selangor yang dikeluarkan Pesuruhjaya PAS Selangor pada 26 Mac 2023, bawah tajuk ‘PAS Selangor menjunjung kasih atas titah peringatan DYMM Sultan berhubungan larangan berkunjung ke rumah ibadat bukan Islam’. Dalam kenyataan itu Dr Ahmad Yunus dengan jelas menyebut:

“PAS Selangor menjunjung kasih titah DYMM Sultan Selangor yang disiarkan melalui akhbar berbahasa Inggeris, The Star pada 26 Mac 2023 bahawa Ke Bawah Duli Tuanku berkenan terhadap larangan keras Majlis Agama Islam Selangor terhadap lawatan ke gereja dan gurdwara bagi mempelajari kepercayaan lain termasuk sebarang aktiviti mempromosi tujuan itu di kalangan rakyat Negeri Selangor yang beragama Islam.”

Laporan NST itu menggambarkan seolah PAS ingkar titah Tuanku (derhaka) dengan menyatakan umat Islam tidak dibenarkan sama-sekali melawat rumah ibadat bukan-Islam, sedangkan kenyataan asal dari PAS tidak menyebut begitu.

Pada 29 Mac 2023 lanjutan kenyataan tegas PAS, pihak NST telah menarik balik laporan berkenaan dari portal berita mereka. Dan pada 30 Mac 2023 pihak NST telah mengeluarkan pembetulan bawah tajuk: ‘Clarification on PAS statement regarding visits to non-Muslim places of worship’ atau ‘Penjelasan berkenaan kenyataan PAS berkaitan lawatan ke rumah ibadat bukan Islam’.

PAS Selangor berpuas hati dengan langkah yang diambil pihak NST bagi memperbetulkan kesilapan mereka.

Pada jam 10 pagi 31 Mac 2023 wartawan Lokman Daim yang bertanggungjawab atas laporan NST itu telah hadir ke Pejabat PAS Selangor untuk memohon maaf secara peribadi kepada Dato’ Dr Ahmad Yunus.

Pesuruhjaya PAS Selangor bagi pihak parti menerima permohonan maaf berkenaan dan berharap agar di masa akan datang pihak media khususnya lebih berhati-hati dalam membuat laporan.

Pendekatan penyelesaian secara harmoni dan diplomatik ini mencerminkan kesungguhan PAS berpegang pada Budaya Politik Matang dan Sejahtera. 

PAS mengharapkan dalam kesungguhan semua pengamal media mendukung konsep kebebasan bermaklumat, laporan yang adil dan berimbang perlulah dipertahankan dan elakkan sama-sekali mengadu-domba atau memfitnah.   

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha Perhubungan
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
31 Mac 2023 / 9 Ramadan 1444 – HARAKAHDAILY 31/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -