Ikan tongkol dijual separuh harga berbanding pasaran

Ikan tongkol dijual pada harga yang jauh lebih murah dalam Program Program Jualan Sejahtera anjuran DUN Pengkalan Berangan, di Marang, Terengganu.
- Advertisement -

MARANG: Orang ramai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan menyerbu Program Jualan Sejahtera yang menjual ikan tongkol dengan harga 50 peratus lebih rendah dari pasaran, sehingga 400 kilogram habis terjual dalam tempoh tidak sampai tiga jam.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong berkata, program  anjuran Pusat Khidmat DUN ) Pengkalan Berangan itu turut mengagihkan kangkung dan terung percuma kepada pelanggan yang berkunjung ke situ. 

- Advertisement -

Beliau memberitahu demikian ketika di temui selepas selesai program berkenaan yang diadakan di Kampung Bukit Kayu Kelat, Pengkalan Berangan, di sini, hari ini. 

“Saya cukup teruja dengan sambutan yang diberikan oleh masyarakat di sini; yang mana  jualan yang sepatutnya bermula jam 8 pagi terpaksa diawalkan.

“Ini kerana kehadiran ramai penduduk yang ingin mendapatkan ikan pada harga murah. Jadi,pembelian terpaksa dihadkan kepada dua ekor ikan tongkol sahaja bagi setiap keluarga.

“Inisiatif ini diadakan bertujuan untuk meringankan beban penduduk yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup dan dianggarkan sebanyak 200 keluarga di sekitar Pengkalan Berangan mendapat manfaat dari program ini,” katanya.

Penduduk Kampung Bukit Kayu Kelat, Pengakalan Berangan di Marang Terengganu teruja berpeluang membeli ikan tonjol pada harga yang jauh lebih murah berbanding di pasaran.

Menurut Setiausaha PAS Marang itu, sebanyak 130 kilogram sayur kangkung dan terung yang diberikan percuma untuk dimasak sebagai juadah tambahan ketika berbuka puasa juga habis dalam tempoh tersebut.

Berdasarkan perkembangan positif, ujar beliau, pihaknya merancang untuk mengadakan lebih banyak program seumpama itu bagi membantu mengurangkan kos perbelanjaan penduduk di bulan Ramadan.

“Saya gembira melihat respons positif daripada rakyat. Selain jualan sejahtera, kita juga melaksanakan beberapa program lain sepanjang Ramadan ini termasuk agihan bubur lambuk dan bantuan buat asnaf.

“Selepas ini, kita akan adakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim terpilih di sekitar DUN Pengkalan Berangan sebagai usaha menceriakan mereka menyambut Ramadan, selain Syawal tidak lama lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/2023

- Advertisement -