Argentina bida tuan rumah Piala Dunia B-20

- Advertisement -

Argentina mengemukakan bidaan rasmi untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 tahun menggantikan Indonesia yang digugurkan hak menganjurkan kejohanan itu.

Presiden FIFA, Gianni Infantino, berkata Argentina adalah satu-satunya negara yang mengemukakan tawaran rasmi.

- Advertisement -

Katanya, Biro FIFA akan memutuskan sama ada untuk menerima cadangan itu dalam masa dua atau tiga hari dengan kejohanan dijadualkan bermula pada 20 Mei.

“Kita semua tahu bola sepak Argentina dan pastinya ia boleh menjadi tuan rumah pertandingan peringkat ini,” kata Infantino pada sidang akhbar di Paraguay.

Beliau berada di Paraguay untuk menyertai Kongres Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) pada hari ini.

“Ada negara lain yang turut berminat tetapi sebagai calon, disokong jaminan kerajaan dan beberapa perkara lain, Argentina adalah yang pertama dan kami akan membuat keputusan dalam tempoh dua atau tiga hari,” katanya.

FIFA menarik balik hak Indonesia sebagai penganjur selepas Persekutuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) menyatakan ini berikutan penolakan penyertaan pasukan Israel di kejohanan tersebut oleh dua orang gabenor di republik itu. – REUTERS

- Advertisement -