30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (9)

- Advertisement -

HIKMAH 9:

- Advertisement -

تشَوُّفُك إلى ما بَطُنَ فيك من العيوب خيرٌ مِن تشوُّفِك إلى ما حُجِبَ عنك من الغيوب

“Pemerhatian kamu pada kecacatan dalam dirimu lebih baik dari pemerhatianmu pada perkara ghaib yang tuhan hijab darimu.”

Maksud:

1. Meneliti dan mengkaji diri sendiri dari sudut penyakit yang melanda seperti takabbur, riya’, hasad, ujub, riya’, cinta jawatan, kemasyhuran dan sebagainya supaya kamu mampu mencari ubat kepadanya adalah lebih baik dari kamu mengkaji dan berusaha mendapatkan perkara-perkara ghaib yang tuhan hijab darimu seperti rahsia-rahsia ketuhanan, karamah-karamah dan sebagainya.

2. Ini kerana bak kata Syeikh Syarnubi, karamah itu adalah hak kamu tetapi istiqamah adalah hak Allah. Mencari karamah adalah tuntutan nafsu sedangkan tuntutan Allah adalah supaya kamu mengabdikan diri padaNya.

3. Tasawuf sebenar adalah jalan untuk memelihara hati dari penyakit dan menghiasi diri dengan sifat terpuji luar dan dalam. Membentuk emosi supaya terdorong mencintai tuhan dan sentiasa bersemangat memperjuangkan agamaNya. Bukan tenggelam dalam perbahasan falsafah yang mengkhayalkan diri dengan berbagai istilah fantasi. Semua perkara itu sudah menyimpang jauh dari jalan tasawuf yang sebenar.

Ibrah Ramadan:

Berlapar adalah latihan diri untuk membentuk jiwa hamba. Manusia cenderung untuk lupa tuhan jika terlalu berada dalam kenikmatan, kekenyangan, kenyenyakan dan keselesaan. Bila rasa susah, barulah ada ruang untuk mereka menilai diri sendiri, sejauh mana kedudukan mereka di sisi Allah.

Imam Ghazali menggariskan empat langkah cara mengenali penyakit diri:

1. Mengadap guru murabbi yang tahu membaca mengesan penyakit diri dan menawarkan ubat yang sewajarnya umpama tabib.

2. Mendampingi Sahabat yang jujur, mampu menegur setiap kesalahan.

3. Mengambil perhatian pada lidah dan tindakan musuh yang sentiasa mencari keaiban kita.

4. Bergaul dengan manusia dan memerhatikan perangai buruk mereka, mungkin ada yang serupa dengan kita ataupun kita yang lebih buruk lagi.

ALANG IBN SHUKRIMUN
9 Ramadhan 1444
31 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 31/3/2023

- Advertisement -