Wanita jangan bimbang kerana Allah SWT ada

Ustazah Dr. Siti Mastura Muhammad dalam program Takzirah Zohor Ramadan anjuran BAKKAH di Kuala Lumpur pada hari ini, 30 Mac 2023.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Sebagaimana yang kita semua maklum, kaum wanita merupakan tulang belakang bagi sesebuah keluarga dalam membina rumah tangga yang sempurna, selesa dan bahagia. Justeru , kaum wanita merupakan individu yang paling sibuk apabila masuknya bulan Ramadan.”

“Jika dihitung, tidak akan habis kerja-kerja rumah yang perlu diselesaikan oleh kebanyakan kaum wanita dari memasak, mengemas, melayan suami dan mendidik anak-anak.”

- Advertisement -

Itu antara petikan tazkirah daripada Pengarah Ameerah Malaysia, Ustazah Dr. Siti Mastura Muhammad ketika beliau muncul dalam program Takzirah Zohor Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH).

Tazkirah yang disiarkan secara langsung dari pejabat Harakah di Jalan Pahang, Off Jalan Pahang Barat, di sini, hari ini; dan boleh diikuti melalui Facebook HarakahDaily dan Facebook TV PAS itu berjudul, Wanita dan Ramadan

Beliau berhujah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdul Rahman bin Auf berbunyi: “Apabila seseorang wanita itu menunaikan solat lima waktu, kemudian dia berpuasa pula di bulan Ramadan, kemudian wanita itu menjaga pula kemaluannya dan maruahnya serta taat kepada suaminya, maka masuklah wanita ini ke dalam mana-mana syurga yang disukainya.”

“Jelas di sini, Allah SWT menyebut kepada wanita bahawa setiap amalan yang dilakukannya kerana niat kerana-Nya, maka wanita ini akan memdapat ganjaran daripada Allah SWT,” kongsi Siti Mastura.  

Justeru itu, ujarnya, bulan Ramadan merupakan gudang bagi umat Islam mengumpul pahala. Ini berikutan, segala amalan yang dilakukan dalam bulan ini kerana niat kepada Allah SWT, maka Allah akan melipatgandakan pahala dari 10 hingga 700 pahala kepada seseorang itu. 

“Setiap kaum lelaki dan wanita akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT melalui amalan yang telah mereka lakukan. Jadi di sini, wanita tidak perlu untuk iri hati dengan kaum lelaki dan sebaliknya,” katanya.

Beliau turut memetik satu ayat dalam Surah An-Nisaa, ayat 32: Allah berfirman bahawasanya Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Menurutnya lagi, sebagaimana yang kita semua maklum, kaum wanita merupakan tulang belakang dalam sesebuah keluarga. Mereka memainkan peranan yang penting di dalam sesebuah rumahtangga. 

“Jika kita hitung, tidak akan habis kerja-kerja rumah yang perlu diselesaikan, dari memasak, mengemas, melayan suami dan mendidik anak-anak.

“Hal ini menjadi kerisauan bagi sesetengah wanita setiap kali tibanya bulan Ramadan yang mulia, yang mana di dalam bulan ini Allah menjanjikan pahala yang berganda atas setiap amalan ibadah yang dikerjakan,” ucap beliau. 

Namun begitu, kata Siti Mastura, ada yang turut mempersoalkan bahawa tidak adillah bagi kaum wanita dan kaum lelaki. 

“Kaum lelaki akan ada banyak masa untuk beribadah dan mendapatkan segala kelebihan itu, sedangkan kaum wanita kebanyakan masanya digunakan untuk memenuhi tuntutan rumah tangga seperti memasak, mengemas, menyiapkan suami dan anak-anak untuk ke tempat kerja dan sekolah, dan sebagainya. 

“Setelah selesaikan segala tanggungjawab tersebut, wanita sudah keletihan,” tegasnya

Dalam pada itu, beliau turut menyebut bahawa kaum wanita tidak perlu bimbang, sebab Allah SWT telah menetapkan ganjaran dan pahala untuk setiap amalan yang dilakukan sekiranya amalan tersebut dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT.

“Terdapat kelebihan-kelebihan lain yang boleh direbut oleh kaum wanita yang disediakan oleh Allah SWT bagi mereka walaupun dalam keadaan mereka berada dalam haid dan tidak dapat berpuasa. 

“Antaranya peranan yang dilakukan oleh kaum wanita seperti menyediakan makanan sahur dan berbuka puasa untuk keluarga. 

“Tidak perlu bermewah sangat pun dalam hidangan, cukup hanya dengan memberi sesuap nasi, segelas air, sebiji kurma atau kuih, itu pun bisa menjadi ladang pahala,” ujarnya. 

Seterusnya, kata Siti Mastura, peranan kaum wanita juga membantu menyediakan kelengkapan suami untuk pergi kerja dan menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah dan berpesan semasa menghantar mereka dan menggalakkan mereka untuk berzikir setiap waktu.

“Di bulan Ramadan ini, kaum wanita boleh memenuhi masa-masa yang digunakan untuk melaksanakan tugasan rumah seperti memasak, mengemas dan membasuh pakaian dengan zikir-zikir kepada Allah SWT,” ucapnya lagi.

Perkara in, ujarnya lagi,i boleh dilakukan samada dengan berzikir ketika membuat tugasan tersebut atau memasang bacaan al-Quran di radio sebagai menghidupkan suasana ibadah di dalam rumah tersebut.

“Oleh itu atas keluasan rahmat ini jugalah perlu untuk kaum wanita fahami bahawa nilai puasa dan ibadah lain dipengaruhi juga oleh tiga faktor, iaitu faktor keikhlasan, faktor kesempurnaan dan faktor kesungguhan melakukannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/3/2023

- Advertisement -