‘Troll’ Kaabah dan pakaian ihram adalah menghina

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri Melaka (DPPNM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan sebuah laman Facebook (FB) atas nama Zunar Cartoonist Fan yang secara halus telah menghina imej Kaabah dan pakaian ihram bagi tujuan troll melalui karikatur.

Penghinaan terhadap imej Kaabah dan pakaian ihram bagi tujuan troll kepada individu dengan niat memalukan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh umat Islam.

Apatah lagi ianya dibuat dalam keadaan umat Islam sedang menyambut bulan suci Ramadan al-Mubarak.

Bahkan, tidak sayugia bahan troll sebegini dibuat dengan mengaitkan kesucian Kaabah bagi tujuan menutup malu Perdana Menteri ke-10 (PMX). Lagi pula kes Jana Wibawa baru bersifat tuduhan dan belum dibicarakan di mahkamah seperti 47 pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sepatutnya sebagai umat Islam, kita perlu berhati-hati daripada berlawak dengan menggunakan nama-nama Allah atau perkara-perkara yang berkaitan dengan syiar agama kerana dibimbangi perbuatan tersebut akan jatuh kepada haram.

Mungkin ini disangka hal remeh-temeh tetapi di sisi Allah S.W.T ia amatlah berat. Renungkanlah firman Allah:

- Advertisement -

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.”

(al-An’am: 70)

Justeru itu, DPPNM menuntut tindakan tegas daripada PDRM ke atas mana-mana pihak yang sengaja mempersendakan kesucian Islam. Moga kebenaran dan kebaikan tertegak.

ZULHILMI SUBOH
Ketua Pemuda PAS Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 30/3/2023

- Advertisement -