Tiga entiti ditubuh bagi memartabat bahasa Melayu

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menubuhkan tiga entiti bagi memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa, iaitu Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia- Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera).

- Advertisement -

Menurut KPM, MABM berperanan sebagai badan penyelaras perancangan dan pelaksanaan program serta aktiviti pembinaan, pengembangan, pemupukan, pemeliharaan dan pemantapan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.

“Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu, Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu 2022 dan Persidangan Penterjemahan Antarabangsa yang telah memasuki siri ke-18,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Mumtaz Md Nawi [PN-Tumpat] di Dewan Rakyat, hari ini.

Mumtaz dalam soalannya minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah perkembangan terhadap langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak Kementerian dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu di persada antarabangsa.

Tambah KPM, MABBIM pula bertujuan untuk membina dan mengembangkan bahasa Melayu supaya menjadi bahasa peradaban tinggi, bahasa ilmu, bahasa sains, bahasa teknologi moden, bahasa perusahaan dan bahasa ekonomi.

Katanya, antara kejayaan MABBIM termasuklah penerbitan 60 judul kamus istilah dan dua judul daftar istilah MABBIM dalam pelbagai bidang ilmu termasuk sains dan teknologi.

“Istilah yang dihasilkan boleh dirujuk secara dalam talian melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM),” ujarnya lagi.

Tambahnya, Mastera ditubuhkan untuk menjadi organisasi serantau sastera yang ternama pada peringkat antarabangsa dalam pembangunan dan pengembangan penyelidikan, penerbitan, pemasaran dan pengiktirafan sastera.

Jelasnya, antara program Mastera termasuklah Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT), Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan Mastera dan penghargaan Sasterawan Muda Mastera. – HARAKAHDAILY 30/3/2023

- Advertisement -